Halaman

Memaparkan catatan dengan label Luahan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Luahan. Papar semua catatan

Selasa, 5 Jun 2012

Anak Yatim


Seorang anak yatim yang kehilangan ibunya, lalu dilukis wajah ibunya dilantai dengan tulisan “MAMA” dan terlena dalam pelukan ibunya. Bagaimanakah kalau kita berada ditempat beliau

“Demi yang mengutus aku dengan hak, ALLAH tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya…”  (At-Tabhrani)



...from forwarded email.

Rabu, 9 Mei 2012

Menyayangi sementara masih ada masa...


Minggu hadapan, genaplah 12 tahun kepulangan arwah ayah saya ke rahmatullah. Terlalu cepat masa berlalu, bagai semalam segalanya berlaku. Kemalangan itu, telah meragut nyawa seorang bapa secara tiba-tiba dengan meninggalkan keluarganya terkapai-kapai serta hilang punca.

Namun, benarlah...semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya kami yang tinggal yatim, masih ada ibu tempat berlindung. Sejak dari hari itu, saya belajar untuk menyayangi setiap insan yang masih hadir di dalam hidup dengan mengetahui bahawa kita perlu bersedia untuk kehilangannya pada bila-bila masa. Kehilangan insan tersayang bukan hanya tertakluk kepada kematian. Perpisahan, perpindahan, semuanya akan menyebabkan kita akan berasa kehilangan.

Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat memilih untuk dimatikan cara mana, siapa yang akan mati dahulu, perpisahan di sini atau di sana...Namun, kita selalu terlupa, Allah anugerahkan kita MASA yang tidak ternilai harganya untuk kita isi sebaik-baiknya. Bagaimana kita mengisi masa ini ketika ini? Sibuk menyiapkan kerja yang tak pernah siap? Sibuk bergaduh dan bertengkar? Atau sibuk memikirkan bilalah lagi masa yang tidak sibuk?

Tidakkah kita mahu menyibukkan diri menyayangi insan-insan sekeliling kita kerana kehilangan mereka pada bila-bila masa adalah benar? Tidakkah mahu menyibukkan diri menyayangi diri sendiri kerana kita juga akan kehilangan nyawa pada bila-bila masa dari sekarang?

Tidakkah mahu kita menyesal sekarang daripada menyesal kemudian?

Rabu, 21 Mac 2012

Bantuan Tanpa Syarat

 
Bantuan tanpa syarat...bunyinya mudah. Melaksanakannya bukan semudah yang disangka. Sudah lumrah insan biasa, setiap bantuan yang dihulur tidak kira sebesar mana, pasti terdetik di lubuk hati mengharap sedikit penghargaan. Tanyalah kepada sesiapa sahaja..pasti akan ada rasa tersebut walaupun sekelumit. 

Namun bila penghargaan tidak diberi atau mula dilupakan, kita juga mula berhenti menghulur bantuan. Lebih parah lagi apabila tiba masanya kita pula yang mengharap bantuan, namun tidak dibantu pula olehnya...maka bertitik tolak dari situ, kita mula menetapkan syarat...asalkan aku dibantu, maka aku akan membantu....kalau tidak jangan haraplah...

Tidakkah kita sedar, sebenarnya Allah sedang menduga sejauh mana keikhlasan kita dalam membantu sesama saudara? Sering kali kita menuturkan ikhlas di bibir, namun hakikatnya sangat sukar menetapkan ikhlas di dalam dada. Kerana ikhlas itu seumpama seekor semut yang sangat hitam yang berjalan di dalam malam yang sangat gelap. Sukar untuk kita tahu kedudukannya di mana melainkan Allah jua yang tahu keadaannya. 

Maka adakah salah kalau kita mengharap sesuatu, lantaran kita hanya manusia biasa yang tidak mampu mengawal kata hati? Sesungguhnya, letakkanlah pengharapan itu kepada Allah...tetapkan bahawa segala pemberi balasan itu adalah Allah SWT...Allah tahu kecil besar kebaikan yang kita hulurkan...Allah sentiasa membalas perbuatan baik yang kita lakukan..Cuma kemungkinan kita  tidak sedar bilakah masanya Allah menolong kita tatkala kita terlalu amat memerlukan bantuan sesiapa.

Sesungguhnya kita dan saudara-saudara lain hanya manusia biasa..kita mudah lupa pada besarnya kebaikan sesama saudara namun sentiasa pula ingat pada kesilapan kecilnya. Kita juga tidak mampu untuk membalas semua kebaikan saudara yang lain, lantaran kita juga insan yang lemah dan hina. Janganlah mudah meletak syarat keduniaan dalam membantu. Jangan pula mudah berkecil hati atas balasan yang diterima dari sesama saudara. Sentiasa bergantung harap kepada Allah, agar kita tidak mudah kecewa dengan setiap sesuatu yang berlaku.

Saya sentiasa teringat pesanan rakan baik saya: Jika kita membantu memudahkan urusan orang, Insyaallah Allah akan membantu memudahkan urusan kita. 

Betapa indahnya hidup bersaudara sesama Islam...

Jumaat, 2 Mac 2012

Untuk siapa kecantikan itu?



    Sesak dan semak...itulah yang saya rasa setiap kali memandang pelajar yang lalu lalang di hadapan saya. Kehadiran mereka penyeri tempat saya bekerja, namun keadaan mereka berpakaian kadangkala sukar benar saya menerimanya. Seolah-olah jurang umur saya dan mereka sangat besar sehingga tidak dapat menerima fesyen terkini mereka.

    Jika berseluar, mereka gemar memilih seluar ketat sehingga bukannya menutup kaki, tapi melilit kaki. Setiap orang yang berselisih, pasti tahu ukur lilit kecil besar betis dan peha mereka. Ada di antaranya pula memakai baju sendat yang separas pinggang sahaja. Selepas itu, ukur lilit apa lagi yang boleh diukur agaknya?? Ada yang selesa memakai t-shirt sendat, baju kurung jarang, kain terbelah, tudung berbonggol unta.

Malu dan sedih...itu lah yang saya rasakan. Tiada sekelumit pandangan cantik yang saya nampak...Dan tentulah pemakaian sebegitu tidak ditujukan kepada saya atau kaum sejenisnya melainkan untuk kaum Adam semata-mata. Mereka membiarkan sahaja pandangan liar kaum Adam terhadap mereka. Pada pandangan mereka tentu sahaja kaum Adam akan menyatakan mereka cantik...itu sahaja..
Tak pernah terfikir pada fikiran mereka bahawa sebenarnya kaum Adam lebih tertarik untuk membayangkan melakukan perkara yang tidak baik kepada mereka daripada mengatakan mereka cantik. 

Inilah bezanya pemikiran lelaki dan perempuan. Lebih-lebih lagi pemikiran ini selalu sahaja didorong oleh nafsu dan tipu daya syaitan.

Maka dengan itu, selalu sahaja wanita tertipu dengan kata-kata manis lelaki. Akhirnya siapakah yang rugi?

Mungkin ada yang berkata, tak luak pun kalau dipandang...memang dengan pandangan tak akan mencalarkan sedikitpun perempuan. Namun ia mencalarkan agama...

pandangan siapakah yang sepatutnya kita dahulukan...manusia atau Allah? 

Siapakah yang memberi keselesaan hidup di dunia dan akhirat...manusia atau Allah?

Ke manakah akhirnya kita akan dikembalikan...manusia atau Allah?



Selasa, 28 Februari 2012

Sudahkah kita bertemu dengan Al Quran hari ini?


Al Quran, mukzijat Rasullullah. Anugerah agung dari Allah untuk semua. Versinya tak pernah berubah sejak pertama kali ia diturunkan...

Namun,

Sudahkah kita membaca sepotong ayat al quran hari ini? atau bilakah kali terakhir kita membacanya?

Atau sekadar mendengar sepotong ayat al quran dari mana mana pun sumber..tv, radio, mp3? 

Atau berapa kali sudah kita menyentuhnya hari ini? Minggu ini? atau kali terakhir dalam bulan ini?

Sebenarnya, di manakah ia sekarang? Di rumah...di pejabat...di dalam almari pada tempat yang tertinggi?

Atau apakah kita tidak mengetahui sedikitpun di manakah ia berada...

Al Quran semakin di tinggal sepi...

namun tidakkah kita tahu, Al quran menjadi teman tatkala hanya sepi dan gelap gelita serta ular dan kala di sana sini di alam selepas ini? Tidakkah kita mahu berteman dengan Al Quran sekarang agar kita tetap berteman dengannya pada masa tiada seorang teman pun rela menemani kita di alam sana?

Sungguh benar, Al Quran adalah datang dari Allah...mukzijat Nabi Muhammad SAW yang masih ada hingga ke hari ini. Sehingga, jika sahaja kita memeluknya rapat-rapat ke dada, seolah-olah ada sesuatu yang sedang meresapi ke hati..hingga berjujuran air mata...kerana betapa kesalnya kelakuan kita terhadap Al Quran selama ini...

Selagi belum tertutup mata selamanya, selagi itu masih ada masa...Al Quran lah teman yang setia, masa susah dan senang, masa sihat dan sakit, serta...masa hidup dan mati...dunia dan akhirat...


Selasa, 4 Oktober 2011

Makna kepada Cinta kepadaNya...


Makna yang manakah kita namakan kepada cinta kepada pencipta kita, Allah SWT, Tuhan yang Maha Agung, Tuhan sekelian Alam...

Apakah maknanya pada cinta yang sedikit sekali pada zikir, sedikit juga pada syukur, sedikit juga pada sedekah dan zakat. Membaca ayat-ayat cintaNya juga jauh sekali. Lebih malang sekali apabila juga jarang-jarang sekali telinga ingin mendengar alunan ayatNya.

Apakah maknanya pada cinta pada yang wajib 5 waktu, sekadar melepaskan batuk di tangga...seolah-olah memberi sedekah pada si fakir yang meminta-minta..asal memberi, ikhlasnya tiada..

Apakah maknanya pada cinta yang mana menahan lapar dahaga yang dilaksana dengan penuh keluh kesah? Juga gembira meninggalkannya dengan harapan akan menggantikannya pada waktu yang lain?

Apakah maknanya pada cinta yang mana wang dikeluarkan atas namanya, namun rupanya riak semata-mata?

Apakah maknanya pada cinta yang mana keluh kesah silih berganti di mulut dan hati, sambil memperkecilkan tiap-tiap nikmat yang diberi?


Namun, apakah yang kita dapat dari cintaNya? Segala-galanya tanpa Dia mengharap untuk dibalas setiap satunya....Apakah ketetapannya adalah untukNya semata-mata? Adakah Dia akan musnah tanpa kita menyembahNya? SesungguhNya Maha Suci Allah dari semua yang fana. Kitalah yang sebenarnya memerlukanNya sepanjang masa...sepanjang masa...

Siapakah kita untuk tidak mahu mencintaiNya? Kita bukanlah sesiapa pun...bukan sesiapapun...hanya hamba yang sentiasa yang bergantung harap namun tidak sedar-sedar akan lemahnya diri sendiri..Nmun Allah tetap juga tidak pernah lupakan kita, tak pernah juga tidak menyayangi kita...walaupun kita hamba...namun layananNya bukanlah seperti tuan-hamba di kalangan manusia. LayananNya istimewa..boleh meminta, boleh mengadu, sentiasa dibantu dan dijaga sebaik-baiknya..

Oleh itu, apakah makna yang kita berikan kepada cinta kita kepadaNya?


Hati





(maksud doa Rasullullah SAW):

Ya Allah, Anugerahkanlah untukku hati yang benar benar bertakwa, suci lagi bersih. Bukannya hati yang kufur dan bukannya hati yang celaka.

Sesungguhnya hati ini bukanlah milik mutlak kita. Di suatu hari kita membenci seseorang, hari yang lain kita menyayangi pula orang yang sama. Hari ini kita menyayangi, belum tentu esok masih lagi menyayangi. 

Hari ini kita berasa tenang, belum lagi tahu apa nasibnya esok hari...

Hari ini hati kita gembira, apakah gembira itu sampai ke esok hari juga?

Hari ini hati kita ikhlas membantu, adakah esok tidak akan ikhlas itu terpalit dengan riak?

Sesungguhnya benar-benar kita tiada daya ke atas satu apa pun di atas dunia ini melainkan dengan pertolonganNya.

Sesungguhnya benar-benar kita adalah zalim kepadaNya bilamana kita berjaya adalah semata-mata atas daya usaha kita tanpa hati kita sedar semuanya adalah atas pertolonganNya...namun, bila kita gagal, secara tanpa kita sedar hati kita pula menyalahkanNya.

Kadangkala tanpa kita sedar, hati kita perkecilkan nikmat yang diberiNya tanpa kita sedari.Bila diduga, hati kita berkata Dia sedang menzalimi kita. Adakah mungkin Allah yang Maha Penyayang sedang menzalimi kita, sedang kita yang tidak tahu berterima kasih kepadaNya terus terusan berlaku tidak adil ke atas segala pemberianNya?

Semoga Allah terus menetapkan hati kita dalam keimanan kepadaNya, memberi hati yang sentiasa bersyukur dan bersabar kepadaNya pada setiap sekecil-kecil nikmat dan sebesar-besar dugaan yang diberiNya.

Isnin, 3 Oktober 2011

Masa



salam semua,

Saya mohon maaf kerana tidak update sekian lama...hambatan tugas tugas di pejabat bertali arus..menuntut untuk diselesaikan setiap satunya.

Kali ini saya ingin luahkan sesuatu...iaitu masa...

Saya yakin, semua pembaca sedar yang masa berlalu semakin pantas...pejam saja mata di malam hari, sekelip mata juga pagi pun menjelma...baru sahaja selesai dalam kesesakan jem di pagi hari..sudah perlu pula menempuh kesesakan jem di petang hari...baru sahaja sampai di rumah, malam pun menjengah...baru sahaja menonton TV, jam sudah melewati separuh malam...

Betapa pantasnya masa berlalu, sehingga ingin sebentar dunia ini berhenti. Sekadar melepaskan lelah, kerana saban waktu dihambat oleh perjalanan hidup yang sebegitu memenatkan. Bukan sahaja yang bekerja, yang bekerja di luar, bekerja di rumah hatta yang tidak bekerja pun merasakan larian masa yang semakin laju meninggalkan kita...

Inilah yang dikatakan akhir zaman...dunia sudah sampai ke hayat hujungnya. Salah satu tanda hari akhir bakal tiba adalah dengan merasakan waktu yang semakin pantas berlalu. Sebenarnya masa itu berlalu seperti itu juga sejak Allah menciptakan masa, cuma keberkatannya sudah mula menghilang. Umpama duit yang tidak berkat, walaupun banyak masih juga tidak cukup-cukup...

Tiadakah penyelesaiannya? Ada...hanya dengan doa kepada yang Maha Esa...mohonlah doa agar diberikan sedikit keberkatan masa kepada kehidupan kita...agar tidak terasa pantasnya masa berlalu..kerana masa itu juga bukan kita yang punya...mintalah pada yang mempunyainya...Insyaallah, kita akan rasa nikmatnya masa...sebagai contoh nikmat masa ialah banyak perkara kita lakukan dan rasa seperti waktu telah banyak dihabiskan untuk tugas-tugas tersebut. Namun, bila menoleh ke arah jam, baru beberapa minit sahaja masa berlalu...pada ketika itu, hanya perkataan Alhamdulillah sahajalah yang layak untukNya.

Namun begitu, istiqamahlah dalam berdoa...insyaallah, Allah sentiasa menbantu kita...



Selasa, 19 Julai 2011

Rutin dan Bahagia... Akulah Bahagia itu...

(gambar hiasan)

Kita seringkali mengatakan, alangkah bagusnya bila kita dapat itu, alangkah baiknya jika begini...dan terus terusan kita ingin mempunyai sesuatu yang orang lain miliki...atau jika tidak merampas kepunyaan orang lain, kita akan cuba bersaing untuk dapat memiliki ataupun mempunyai sesuatu yang sama dengan orang lain....

Dan akhirnya kita menjadi lebih kurang seperti kata Prof. Dr. Muhaya, kita ingin miliki sesuatu yang tidak kita kehendaki dengan duit yang tidak kita punyai untuk menunjuk nunjuk kepada orang yang tidak kita sukai...

Kita cemburu pada kurniaan yang orang lain miliki...kita berasa Allah itu tidak adil dalam memberikan kurniaannya...juga seperti ada fikiran bahawa Allah itu pilih kasih kepada hambanya....Nauzubillah...

Benarkah Allah sekejam itu pada kita? atau kitakah yang buta pada semua nikmatnya yang maha tidak terkira banyaknya? Berapa ramaikah dari kita yang tidak mengeluh bangun setiap hari memikirkan rutin sebagai ibu, rutin sebagai pelajar...rutin sebagai ibu bapa, rutin sebagai isteri, rutin sebagai pekerja...sebagai itu, sebagai ini...berapa ramai yang tidak mengeluh dengan rutin?

Berapa ramai pula yang terlalu rindu akan ketenangan dan kedamaian dek kerana hambatan masalah yang tidak kunjung padam?

Saya pasti, jika dikira pada semua perkara di atas, pasti tidak pernah kita berasa atau teringin untuk bersyukur...kenapa nak bersyukur atas segala masalah...betul?

Namun, cuba kita berhenti seketika, tarik nafasmu dalam dalam...betapa sewajibnya kita bersyukur di atas segala rutin rutin hidup ini yang dirasakan sungguh membosankan...kerana apa? Kerana kita masih ada rutin untuk dilaksanakan...

jika rutin mu sebagai ibu, bermaksud kamu masih mempunyai anak
jika rutinmu sebagai pekerja, bermaksud kamu masih mempunyai kerja
jika rutin mu sebagai suami isteri, bermaksud kamu masih mempunyai pasangan hidup
jika rutinmu sebagai pelajar, bermaksud kamu adalah dalam kalangan orang berilmu
jika rutin mu adalah hanya menyelesaikan masalah, bermaksud kamu masih hidup untuk menyelesaikannya....

Jika begitu, mana mungkin akan hadir bahagia dan ketenangan? Semua sibuk, semua masalah....

Sebenarnya tenang dan bahagia ada di mana-mana, pada apa situasi pun,namun perlu diikuti dengan syukur...

Bila mana dapat melihat wajah ibu, bapa, anak, suami, isteri, kita bersyukur- itu bahagia.

Bila mana sahaja melihat dapur untuk memasak, memandang rumah kita bersyukur- itu bahagia.

Bila mana sahaja timbunan fail di meja menjadikan kita bersyukur - itu bahagia.

Bilamana sahaja pandangan kita menerbitkan rasa syukur...bila mana sahaja kita bersyukur, bahagia akan tiba.

...kerana, sentiasa ada orang yang lebih hebat penderitaannya berbanding kita...

sesungguhnya memang benar, ada di antara kita telah tidak tertanggung rasanya...pulangkanlah semua bebanan itu kepadaNya...bukan dengan cara memaki hamun, namun dengan berserah sepenuhnya kepadanya...keluarkan keluh kesahmu kepadaNya, bukan kepada orang lain...kerana hanya Dia yang sangat memahamimu...hanya Dia yang akan membantumu....

Ketahuilah olehmu, masalah,rutin dan tugas itu semua hanyalah sementara...

seorang ibu masih sibuk bila anak anaknya masih sangat kecil lagi, bila telah dewasa mereka pun pergi...

seorang suami atau isteri hanya sibuk dengan rutinnya ketika pasangannya masih ada, bila pasangannya meninggalkannya....

Seorang pekerja hanya sibuk bila khidmatnya diperlukan, setelah itu....

Ketenangan dan kedamaian yang kita impikan itu sangat mahal harganya...ia akan datang bersama pakej yang kita tidak sekali kali duga dan mahukan, kerana itu lah dunia...kehidupan Akhirat jualah yang ideal...oleh itu, belajarlah menuturkan syukur ...kerana bila mana kita syukur, tenang dan bahagia akan datang tanpa kita duga...
kita tidak akan lagi memikirkan bahawa inginkan kebahagiaan orang lain...kerana kita sendiri sudah kaya dengan bahagia...

Atau sekurang -kurangnya, bila kita akhirnya kehilangan rutin itu, kita akan masih berasa bahagia kerana kita pernah bersyukur diberikan kesempatan melaksanakan rutin itu...

Sebenarnya, akulah bahagia itu....

Isnin, 9 Mei 2011

Masuk hospital...


Hari rabu yang lepas, saya masuk hospital...kena viral fever dan dehydration sekali...doktor masukkan 5 botol air melalui tangan. ...tu lah..sekejap kebah, sekejap demam...alhamdulilllah, saya sudah pun sihat....


Di hospital, tak banyak benda yangorang sakit boleh buat..kebetulan saya duduk di tepi tingkap dan wad saya di tingkat 5...sepanjang saya di sana, saya merenung ke luar tingkap...hati kecil saya berbisik betapa indah dan agungnya ciptaan Allah...keindahan alam di bandar kecil sekitar hospital ini yang saya tidak nikmati ketika saya sibuk mengejar urusan dunia...

Saya juga berfikir bahawa betapa sibuknya kita, sampai tidak terlihat oleh mata kita keagungannya...sehingga kita tidak sempat juga menuturkan hatta mengingatiNya lantaran urusan dunia yang tak pernah sudah sudah...

Saya bersyukur diberi kesempatan untuk berhenti seketika dari urusan dunia dan duduk bermenung di atas katil hospital...kerana dengan itu juga saya seolah olah terjaga dari tidur yang panjang...tidur yang enak sehingga terlupa pada tujuan sebenar kita hidup...kita hidup bukan untuk menyelesaikan urusan dunia yang tak pernah habis habis...kita hidup untuk beribadah kepadaNya...solat itu ibadah, makan itu ibadah, tidur itu ibadah, kerja...berkeluarga...semuanya adalah ibadah yang selama ini sukar untuk kita niatkan ibadah...yang selama ini kita niatkan untuk diselesaikan....maka jika diniatkan untuk diselesaikan, memang kita lelah dalam menyelesaikannya...

Namun, bila kita niatkan semata mata kerana Allah SWT, maka tidak lain ia adalah ibadah yang cukup membahagiakan, menenangkan...jika ada kepenatan sekalipun, kita tahu bahawa Allah akan membalasnya dengan balasan yang baik lantaran niat kepada Allah SWT...
Alhamdulillah....

Isnin, 31 Januari 2011

PEMBUNUHAN BAYI SEMAKIN MENGGILA !

sumber : http://kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2011&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Apakah perasaan anda melihat bayi di atas? Akhbar kosmo hari ini melaporkan lagi kes pembunuhan bayi. Bayi di atas ditemui di dalam longkang di Batu Pahat. Alangkah kejamnya dengan membuangnya di kawasan yang tiada orang dan dibiar kesejukan dan lemas. Betapa hati keibuan saya terasa sungguh sayu melihat bayi yang tidak berdosa disiksa sebegitu rupa. Jika benar2 tidak inginkannya, berilah kepada orang lain. Jangan dibunuh! Masih ramai yang sudi menjaganya sekiranya si ibu bapa tidak mahukannya. Pembunuhan tidak akan dapat memadamkan dosa, tapi lebih menambah derita. Penderitaan kekesalan tidak akan ada ubatnya.

Di dalam benak saya, sekiranya si ibu bapa tidak sekejam itu, mungkin hari ini bayi itu masih hidup lagi...

Sungguh kejam perlakuan mereka. Ada yang sanggup membakar bayi di tempat pembuangan sampah, ada yang melemparkannya di sungai, ada yang menanamnya hidup hidup, ada yang membuangnya di tepi jalan raya, yang meninggalkannya di dalam kotak dan di dalam beg...Apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini? Pergaulan yang tidak terkawal sehingga perzinaan dan akhirnya pembunuhan! Saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT agar pembunuh pembunuh ini akan mendapat balasan yang berat di dunia, di kubur dan di akhirat....

Kepada yang masih belum terjebak, jagalah diri sebaik mungkin...sekiranya telah berlaku juga, bertaubatlah...dan jangan diteruskan kepada langkah terakhir menjadi pembunuh.

Semoga roh2 si kecil ini akan tenang di syurga bersama Allah SWT.

Jumaat, 28 Januari 2011

Semakin Ramai Lelaki Islam Tidak Bersolat Jumaat

Sumber gambar : hassan1663.blogspot.com

Hari ini, saya telah berjalan jalan ke sebuah shopping kompleks yang agak popular di Penang ini...Hari Jumaat waktu rehat agak panjang berbanding hari biasa, maka memang kebiasaannya ramai pekerja2 wanita akan ambil kesempatan untuk membeli pelbagai barang keperluan. Saya wanita berkerjaya, isteri dan ibu, memang faham benar dan memang ini sahajalah masa yang ada untuk diri sendiri tanpa perlu memikirkan hal hal yang lain.

Namun, tumpuan saya terganggu melihatkan kelibat ramai lelaki2 yang muncul ketika orang lain sebenarnya sedang sibuk di masjid. Ada yang datang dengan famili, ada yang bawa anak, ada yang dengan pasangan (jelas sekali bukan pasangan berkahwin) dan ada juga yang datang berkumpulan.

Saya melihat kepada jam di tangan, (ketika itu sedang makan di restoran segera), telah menunjukkan jam 1.30ptg...lelaki2 di situ masih leka menjamah makanan...saya terfikir, mungkin sebab waktu Zohor sekarang masuk lambat, maka mereka makan dahulu. Saya makan lambat2 dan akhirnya jam sudah menunjukkan pukul 2.00ptg....mereka masih di situ juga...fikir saya, mungkin kerana waktu rehat mereka singkat, maka mereka tidak boleh pergi masjid...

Namun, setelah 2.10ptg, mereka masih juga di situ dengan beberapa orang yang berpakaian pejabat...saya akhirnya hanya mampu menggelengkan kepala...dalam hati saya, Sah mereka tidak solat Jumaat!

Sedihnya melihat sebahagian lelaki lelaki di zaman ini. Mereka diamanahkan sebagai pemimpin, namun secara terang terangan mempamer kelakuan sedemikian tanpa rasa malu. Tertama bapa bapa yang membawa anak2 mereka, teladan apakah yang sedang ditunjukkan? Juga kepada yang sedang bercinta, tidakkah teman wanita mereka tergerak hati untuk menegur keadaan ini?

Jika pun mereka itu adalah musafir, rasa saya tak perlulah menonjolkan diri secara terang terangan pada waktu itu, sekurang kurangan pada masa solat Jumaat demi menghormati solat tersebut. Juga sekurang kurangnya mereka dapat menghindarkan diri mereka dari terfitnah oleh mata mata yang memandang.

Solat Jumaat yang ditinggalkan secara sengaja, tidak akan sama walaupun diganti dengan solat zohor...Sekiranya (kepada yang sengaja meninggalkan solat jumaat) mereka tidak malu kepada manusia, malulah kepada Allah...malulah kepada makanan yang sedang dijamah sedang diri tidak mahu bersujud untuk bersyukur kepada Allah SWT. Fikirkanlah....

Isnin, 24 Januari 2011

Affiliate Yang Tidak Dibayar- Wajarkah?

Hai semua pembaca,

Hari ini saya ingin nak meluahkan sedikit kekecewaan berhubung dengan sistem affiliate ni....kalau para pembaca perasan, saya ada sedikit2 buat promosi di blog ini pada tag 'product review'... bukan apa, saja berkongsi kebaikan produk di samping ada sedikit komisyen.

Yang dijanjikan, setiap yang terjual melalui promosi di blog / link kita, akan dibayar RM 10... namun, janji tinggal janji. Sudah puas saya menghantar email dan bertanya, namun janji pemilik produk untuk meneliti semula pertanyaan saya hanya tinggal sekadar begitu sahaja...hingga kini, masih belum dapat apa2 bayaran...

Mengikut akaun affiliate saya, sudah 15 jualan produk telah berjaya dilaksanakan melalui link saya sejak tahun 2009 hingga awal tahun ini...namun tak pernah saya dapat apa2...

Kalau diikutkan hati, mahu sahaja saya delete sahaja post saya...namun tah kenapa sebahagian lagi hati saya berkata, tak mengapalah...biarkan sahaja...masing2 ada habuan masing2...so now, saya just fikir tak mengapalah....kalau beliau rasakan ini adalah tanggungjawabnya, ini adalah hutangnya pada saya, jika ada rezeki saya...adalah...jika tak ada...saya berserah sahaja pada Allah...mungkin rezeki saya tiada di bidang affiliate ni...

Tapi, pesanan saya pada para pembaca sekalian agar berhati2 dengan sistem ini. Jika anda ada laman web yang menyediakan affiliate ini, make sure anda sentiasa pantau dan update bayaran pada rakan2 affiliate anda...bukan apa, mereka telahpun bersusah payah tulis yang baik2 berkenaan produk anda, tapi lepas anda dapat pelanggan, anda tak ambil kisah tentang rakan affiliate anda....tak byk sedikit, mereka membantu perniagaan anda...

Lagi satu, jika kita telah berjanji...walau apa cara sekalipun, perlu ditunaikan...hutang masih tetap hutang sehingga pemiutang menghalalkannya...sekurang kurangnya mintalah halal....saya pun tak kisah sangat, kita kan bersaudara...namun bila email2 dan pertanyaan saya di web dibiar begitu sahaja...sedikit sebanyak mencalar hati saya...saya hanya insan biasa...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails