Rabu, 13 Jun 2012
Tekanan berhutang
Selasa, 10 April 2012
Elakkan 'tunai segera' kad kredit
sumber http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm
Sabtu, 26 Mac 2011
Kesan Hutang Kad Kredit Paling Kritikal
Kepada para pembaca...jauhilah kad kreadit....!
(sumber : http://www.shamsuddinkadir.com/v2009/2008/12/page/2/)
Sehingga ke hari ini, masih ada individu yang menjadikan kad kredit sebagai kad hutang, di mana bagi setiap pembelian sebanyak RM1,000 ringgit, hanya RM 50 akan dibayar. Ini bererti bagi penguna kad kredit yang menangung hutang sebanyak RM 3,000 akan membayar RM150 sebulan, dan pada masa yang sama akan mengunakan kad kredit itu bagi berbelanja melebihi RM 15O yang dia sudah bayar. Akibatnya jumlah hutang itu semakin naik dan akan mencecah had kredit, ketika ini baru kita akan tersedar, bertapa nikmatnya hidup tanpa dibebani hutang yang membuatkan kita semakin miskin ini.
Ianya mengambil masa antara 3 -5 tahun untuk kita menyedari kesan daripada bebanan hutang kad kredit di atas ketagihan kita hidup melampaui batasan kebolehan membayar hutang. Pemegang kad kredit masih terus mengunakan walaupun pelbagai nasihat, panduan yang telah diberikan oleh buku-buku dan orang yang telah menasihati kita sepanjang hidup.
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, hentikan pengunaan kad kredit mulai pada hari kita mendapat gaji. Gunakan duit gaji bagi membayar hutang kad kredit yang berbaki itu secara ansuran.
Kita mulai merasa sedikit kejutan mulai hari pertama kita tidak lagi mengunakan kad kredit bagi berbelanja di luar kemampuan. Perjalanan kita dihujung minggu dengan kereta sudah tidak sejauh kita membeli petrol dengan kad kredit, bilangan barangan yang dimuatkan didalam troli di pasaraya semakin sedikit, bilangan baju baru, alat hiasan di rumah semakin berkurangan… pembelian handphone baru juga turut tertunggak…
Banyak lagi kos kita akan menurun dengan mendadak dan selepas beberapa bulan, senyuman manis bulan mekar dibibir kita… dan selepas 1 - 2 senyuman ‘Duit’ mula dapat dilihat di senyuman kita. Ada pembaca buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang yang tersenyum lebar apabila membaca entri ini, kerana 1-2 tahun lalu beliau juga termasuk dalam kumpulan individu yang memiliki hutang kad kredit melebihi RM10,000.
Semoga Allah mempermudahkan usaha kita bagi menangani hutang kad kredit dan membantu kita membebaskan diri dari kemelut hutang. Ya Allah perkenankan doa kami ini. Amin
Kanser Kehidupan Yang Meragut Kesenangan
Kita yang memilih sama ada ingin menjadikan hidup dengan senang ataupun susah. Skim Ansuran Mudah adalah kanser dalam kehidupan kita yang merampas segala ketenangan. Hidup kita menderita apabila terlibat dengan hutang yang tidak baik ini. Ramai yang akan bertanya, ada ke hutang yang baik? Secara asasnya tiada hutang yang lebih baik daripada tidak berhutang. Kerana matlamat utama manusia adalah akhirat, sudah pasti mati dalam keadaan tidak menangung hutang adalah misi utama setiap manusia yang yakin bahawa hidup di dunia hanyalah satu persinggahan singkat.
Hutang skim ansuran mudah sebenarnya membuatkan kita hidup di luar batasan normal manusia yang celik kewangan. ISkim Ansuran Mudah termasuk di dalam kategori hutang yang membuatkan kita semakin miskin.
Jika kita sudah terlibat dengan skim ansuran mudah, cepat-cepatlah menghabiskan bayaran baki hutang itu, jika ada bonus gunakan ke semuanya bagi menjelaskan hutang tersebut.
Hutang kad kredit adalah sebahagian daripada kanser kehidupan yang perlu kita jauhi.
Bagi mengelakkan kita dari ‘diperangkap’ oleh promoter, jurujual atau salesmen, elakkan daripada mendekati mereka yang menawarkan skim ansuran mudah dan juga kad kredit. Ini bagi memastikan kanser kehidupan itu tidak menjadi tetamu sial dalam rumah kita.
ShamsuddinKadir.com ingin memaklumkan sekali lagi bahawa hutang yang dibuat melalui skim ansuran mudah dan kad kredit adalah tidak direkomenkan oleh halaman ini. Walaupun ada kad kredit yang menawarkan skim pembelian ansuran dengan zero interest atau tanpa faedah.
Jika mesin membasuh pakaian kita rosak, pastikan kita ada duit tunai bagi membeli yang baru, jika belum berkemampuan, usahakan bagi membasuhnya secara manual. Tekanan ketika membasuh secara manual membantu kita bagi mendisiplin diri dan menjadikan kita orang yang berduit pada setiap masa. Kita hanya membeli mesin basuh apabila simpanan kita mencukupi.
Apabila kita merasa kepanasan yang tidak tertahan, langkah membeli penghawa dingin tiada masalah, tetapi pastikan ianya dibeli secara tunai.
7 Tanda Masalah Wang Sedang Melanda
(picture :http://www.nationalmoneyhelpline.co.uk/ )
Setiap penyakit ada simptom tertentu. Penyakit berkaitan wang pun ada simptom sendiri. Berikut adalah 7 petanda yang menunjukkan kita ada penyakit dalam urusan kewangan.
1. Menambah bilangan kad kredit
Kad kredit Bank Siti semakin menghampiri had limit yang ditetapkan. Malangya, kalau tidak pakai kad kredit untuk berbelanja setiap bulan, macam mana mahu hidup. Duit gaji memang habis bila menjelang tengah bulan. Maka, cari lah kad kredit baru dari Cina India Melayu Bank.
2. Hutang kad kredit bayar yang minima sahaja
Bulan-bulan guna kad kredit, tapi bayar hanya cukup-cukup yang bank minta. Maka setiap hari hutang semakin bertambah akibat adanya elemen riba hutang dalam kad kredit riba dan kaedah untung dari jual beli dalam kad kredit perbankan Islan.
3. Usik akaun simpanan
Tabung memang ada. Mula-mula memang rajin simpan. Masa bujang dulu, komitmen masih kecil. Tetapi bila sudah beli kereta, beli kamera dengan kad kredit, beli laptop dengan kad kredit, belanja kahwin secara berhutang, maka simpan bila ada lebih sahaja. Bila perbelanjaan lebih banyak dari pendapatan, maka mula lah usik akaun simpanan untuk bayar itu dan ini.
4. Bergilir bayar bil bulanan
Bil api, air, ASTRO, telefon, internet. Eh, tapi bila lambat bayar sebulan dua bukan kena potong terus pun. Jadi, boleh la bayar bil bergilir-gilir.
5. Tidak boleh tidur malam
Hutang jika tidak diuruskan dengan betul, boleh menyebabkan hidup kita tidak tenang. Barangkali kerja pun mula tidak fokus dan tidur pun jadi tidak lena kerana banyak memikirkan hutang dan masalah kewangan lainnya.
6. Bergaduh dengan pasangan
Kes-kes penceraian ada banyak berkaitan dengan isu harta. Nauzubillah. Jadi, bila ada masalah kewangan, hutang, maka kita perlu bawa berbincang dengan suami / isteri untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Rancang wang dengan pasangan. Bukan simpan masalah wang sampailah satu masa, kita bergaduh.
7. Mencari “easy” loan
Kad kredit sudah jadi koleksi dalam dompet. Pembiayaan peribadi juga sudah buat overlapping. Tetapi masalah wang masih tidak selesai. Kita pun mencari-cari peluang skim pinjaman dan pembiayaan mudah yang tidak perlu tengok CCRIS, CTOS, blacklist dan sebagainya. Silap haribulan, meminjam dengan along.
Isnin, 20 Julai 2009
Rancang Dana Persaraan Sebelum Berumur 30 Tahun
Oleh RUSMA IBRAHIM
(Dipetik drpd. rencana Utusan Malaysia)
JIKA anda berusia kurang daripada 30, besar kemungkinan anda belum memikirkan tentang persaraan anda. Dan tiada sebab untuk anda merancang sejauh itu? Persaraan adalah sesuatu yang sangat jauh ke hadapan dan apabila masa itu tiba, anda menyangka anda sudah meraih sejuta ringgit dan hidup dalam kegembiraan? Salah.Realitinya sangat berbeza seperti berikut:
1. Walaupun persaraan seperti dilihat masih jauh lagi, sebenarnya tidak.
2. Sejuta ringgit memang jumlah wang yang besar, tetapi hanya segelintir daripada kita akan memiliki simpanan sebanyak itu.
3. Selepas bersara, kebanyakan kita akan hidup selama 20 hingga 25 tahun lagi tanpa sebarang pendapatan.
4. Inflasi akan menghakis kuasa membeli simpanan anda.
5. Secara purata, seorang yang bekerja dan mempunyai simpanan persaraan sebanyak RM100,000, akan membelanjakan duit tersebut dalam tempoh 10 tahun saja.
Panik? Jangan. Mengambil berat? Ya.
Rakyat Malaysia harus memikirkan dengan serius tentang simpanan bagi persaraan masing-masing dan mengambil langkah proaktif untuk membuat perancangan mengenainya termasuk mereka berusia kurang daripada 30 tahun atau baru memulakan kerjaya.
Ketika ini, sebahagian besar pekerja sektor swasta di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk persaraan mereka. KWSP adalah skim tabungan yang mewajibkan ahli menyimpan sekurang-kurangnya 11% daripada pendapatan bulanan mereka dan 12% daripada majikan mereka. Ini bermakna 23% daripada pendapatan seseorang disimpan setiap bulan dalam akaun KWSP masing-masing. Kadar caruman 23% ini hanya kadar yang diwajibkan. Ahli dan majikan atau kedua-duanya boleh menyimpan melebihi kadar tersebut.
Berdasarkan rekod KWSP, purata simpanan seorang ahli KWSP adalah RM100,000 apabila mencapai usia 54 iaitu setahun sebelum bersara. Bagaimanapun, sebahagian besar pesara didapati menghabiskan keseluruhan wang itu dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.
Purata jangkaan hayat rakyat Malaysia pada umur 55 tahun ialah : 83 tahun untuk wanita dan 78.6 tahun untuk lelaki. Bayangkan jika seseorang itu bersara pada umur 55 tahun dan menghabiskan simpanan KWSP dalam tempoh 10 tahun. Bagaimana mereka membiayai kehidupan selama 13 hingga 18 tahun lagi?
Selain daripada jumlah simpanan yang ada ketika bersara, faktor-faktor berikut juga perlu diambil kira:
1. Inflasi dan peningkatan kos sara hidup
Jika anda seorang kanak-kanak pada 70-an dan 80-an, anda mungkin pernah mendengar ibu bapa anda mengatakan, “Bila saya mendapat gaji pertama, saya berikan semuanya kepada emak, dan emak berikan saya RM50 untuk dibelanjakan.”
Bagus sekali. Daripada muda lagi telah mula menabung tetapi persekitaran sekarang adalah berbeza. Cara hidup dan keperluannya telah berubah. Dalam lain perkataan, golongan muda hari ini perlu mengeluarkan banyak wang untuk kehidupan harian berbanding ibu bapa mereka.
2. Perubahan norma sosial
Walaupun era memberikan seluruh gaji kepada emak anda mungkin sudah berlalu, pekerja muda hari ini masih memberikan sejumlah kecil gaji mereka kepada ibu bapa mereka sebagai penghargaan.
Bagaimanapun, aliran ini akan berubah bagi generasi akan datang. Hari ini, lebih ramai orang berkahwin dan mempunyai anak pada usia yang lebih tua, sekali gus menyebabkan mereka mempunyai anak kecil untuk dibiayai termasuk bagi perbelanjaan pendidikan anak- anak walaupun mereka sudah mencecah usia persaraan.
3. Kos dan keperluan perubatan
Semakin kita tua, semakin kita memerlukan rawatan perubatan. Kos perubatan pula semakin meningkat dengan mendadak. Kita akan menghadapi kesulitan kewangan untuk membiayai rawatan perubatan terutama golongan yang tidak mempunyai insurans perubatan.
Jika semua faktor ini diambil kira, kemungkinan besar simpanan KWSP kebanyakan ahli tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan persaraan mereka. Jalan penyelesaiannya ialah berusaha meningkatkan simpanan untuk persaraan mengikut kemampuan masing-masing.
Tetapi bagaimana?
Menabung! Menabung! Menabung! Sebenarnya tiada jalan mudah. Menabung sebahagian pendapatan bulanan anda dengan tujuan persaraan dan tidak membelanjakan simpanan tersebut sebelum anda bersara membolehkan anda memiliki simpanan dalam jumlah yang lebih besar untuk persaraan.
Disiplin diri sangat penting. Anda harus menetapkan sasaran simpanan setiap bulan. Bandingkan pendapatan bulanan dengan perbelanjaan perlu seperti hutang rumah dan kereta, insurans, makanan, pengangkutan dan lain- lain. Kemudian tentukan jumlah yang akan disimpan setiap bulan. Pastikan anda berdisiplin dalam soal simpanan ini. Apabila anda mendapat gaji, keluarkan jumlah yang ditetapkan dan masukkan ke dalam akaun simpanan itu.
Katakan anda tinggal dengan ibu bapa anda dan mempunyai pendapatan bersih kira-kira RM2,500 sebulan. Anda perlu membayar ansuran pinjaman kereta, bayaran skim insurans, membayar bil telefon mudah alih, memberikan sejumlah kecil kepada ibu bapa anda setiap bulan, selain membantu membayar dua atau tiga bil di rumah. Anda mungkin boleh membuat perkiraan seperti ini:
Baki gaji anda pada setiap akhir bulan adalah RM570. Daripada berbelanja wang berkenaan secara tidak berfaedah, mengapa tidak anda menyimpan sebanyak RM200 atau lebih untuk masa depan anda?

Jika anda mempertimbangkan untuk menyimpan RM200 sebulan bagi keseluruhan tempoh kerjaya anda, katakanlah selama 30 tahun, jumlah keseluruhan simpanan anda ialah RM72,000. Jika dicampur faedah ke atas simpanan tersebut, jumlah ini dengan mudah akan berganda kepada RM144,000 apabila anda bersara. Dicampur dengan simpanan KWSP sebanyak RM100,000, anda akan bersara dengan lebih selesa.
Anda juga tidak harus lupa bahawa wang yang disimpan akan bertambah dan apabila ia bertambah, anda perlu bijak untuk menabung dan di mana ia harus dilaburkan. Mempelbagaikan saluran simpanan memerlukan anda membuat keputusan yang bijak. Bertanya dan belajar mengenai manfaat menyimpan wang dalam simpanan tetap dalam institusi kewangan terkemuka atau melabur dalam saham amanah.
Anda juga boleh membeli insurans yang memberikan perlindungan sepanjang hayat, kemalangan, perubatan, endowmen, dan juga pendidikan untuk anak-anak. Jika anda memiliki insurans tersebut, anda tidak perlu mengeluarkan simpanan KWSP bagi membiayai kos perubatan yang tidak dijangka atau membayar yuran pendidikan tinggi anak-anak di kemudian hari. Ini akan memastikan simpanan KWSP untuk persaraan adalah lebih besar nilainya.
Hartanah juga satu bentuk pelaburan yang baik dan harus dipertimbangkan selepas seseorang mempunyai simpanan yang mencukupi. Walaupun KWSP membenarkan ahli mengeluarkan simpanan daripada Akaun II untuk membeli rumah, adalah lebih bijak wang simpanan KWSP anda tidak dikeluarkan jika anda mampu mendapatkan pembiayaan perumahan daripada bank.
Persaraan dan perancangan kewangan memerlukan banyak pertimbangan, perancangan dan disiplin. Menabung ketika memulakan kerjaya pada usia muda akan memudahkan dan mengurang beban pada kemudian hari.
Walaupun menabung wang bukan sesuatu yang mudah terutama dengan pelbagai tarikan daripada pasaran pengguna, ia adalah kaedah yang membolehkan anda bersara dengan lebih selesa. Kepada mereka yang berhadapan dengan masalah untuk menabung, terdapat satu lagi pilihan akhir yang mudah bagi memastikan anda mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara iaitu bersaralah pada usia 75 tahun!