Halaman

Khamis, 22 Oktober 2009

Persoalan Arak Haram Dan Tapai Halal

Dah lama saya tak berkesempatan nak update blog...kali ni saya nak kongsikan satu artikel yang menarik dari seorang ustaz...


sumber: http://emjayjb.multiply.com/journal/item/231


Pada pukul 9.30 malam 8 Mac 2009 saya telah membuka TKO dan telah menemui persoalan di dalam forumnya yang bertajuk “ada cikgu sains tuh tanya soalan...

kenapa arak diharamkan sedangkan tapai tak haram?.. sedangkan kandungan kedua2nya ada alkohol (?ethnol) yang formula kimianya adalah sama?..kenapa kandungan alkohol dari anggur haram tapi kandungan alkohol dari tapai atau lain2 tak haram sedangkan formula molekulnya sama?....

boleh sapa2 jawab?...

sama2lah kita berkongsi ilmu...”

Berikut adalah penjelasan saya berkenaan persoalan yang dikemukakan.

Assalamualaikum wbh

Izinkan saya menegur sdr cingkoi tentang definisi araknya sebagaimana didalam laman TKO tersebut iaitu:

“Arak ialah Alkohol dlm bentuk ethyl alcohol dan merupakan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak manusia dan seringkali menyebabkan ketagihan. Ia dihasilkan oleh sel2 ragi atau yeast yg bertindak ke atas karbohidrat yang terdpt dlm buah2an atau biji2an.”

Definisi arak sebenarnya ialah: Sesuatu yang mengandungi alkohol yang memabukkan dan dikenali juga dengan panggilan minuman keras.

Penjelasan dari sdr cingkoi di atas tidak boleh diterima kerana semua arak memanglah mengandungi alkohol dalam kadar peratus yang berbeza disamping ia juga mengandungi air, glukos, vitamin dan garam mineral. Semua arak mengandungi alkohol dari jenis ethyl alkohol atau pun nama lainnya etanol tetapi etanol semata-mata adalah bukan arak kerana tidak ada pun arak yang terdiri semata-mata hanya etanol. Tambahan pula etanol selain boleh dihasilkan dari proses penapaian ragi / yeast , ia juga boleh dihasilkan di dalam makmal tanpa melibatkan langsung proses penapaian.

Secara umumnya, arak boleh di kategorikan kepada:

Bir mengandungi 6% alkohol etanol
Wain yang mengandungi 10-20% alkohol etanol
Wiski yang mengandungi 35% alkohol etanol


Apa yang diharamkan oleh Islam adalah arak yang mana arak ini terdiri daripada air, karbohidrat (glukos), mineral, vitamin dan etanol iaitu sejenis alkohol.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Ibn Umar mafhumnya:

“Daripada Ibn Umar, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda; semua yang memabukkan adalah arak, dan semua yang memabukkan adalah haram”.

Jumhur ulamak mengelaskan arak sebagai najis. Apabila arak ini dikategorikan sebagai najis, apa yang najis bukanlah etanol sahaja yang terkandung di dalam botol arak tetapi apa yang dihukumkan najis adalah juga keseluruhan arak yang terdiri daripada air, karbohidrat, mineral, vitamin dan etanol. Air di dalam arak adalah najis dan begitulah juga vitamin yang terkandung di dalam arak. Sekiranya diasingkan air daripada minuman arak yang 100% terdiri hanya air, ia adalah tetap di katakan najis kerana air ini berasal dari najis arak. Sekiranya etanol dari arak ini diasingkan lalu menjadi 100% etanol, ia tetap najis kerana berasal dari najis arak. Namun sebarang etanol yang diperolehi selain daripada arak, ia adalah tidak najis. Kebanyakan alkohol di makmal tidak diperolehi daripada arak.

Nasi yang dimasak pada tengahari atau petang apabila dibiarkan semalaman lalu di makan keesokan harinya, ia sudah mengandungi sedikit alkohol. Alkohol di dalam nasi ini boleh diasingkan melalui proses penyulingan. Persoalannya adakah nasi yang berusia hampir 24 jam ini dihukum sebagai haram kerana mengandungi etanol?? Hukumnya tetap halal dan masih harus dimakan kerana nasi ini tidak memabukkan hatta kalau dimakan sebanyak 3 pinggan.

Tapai pulut dan tapai ubi sangat sedap sekali. Ia dibuat dengan memasak pulut atau ubi sehingga masak dan setelah masak ia disejukkan pada suhu bilik. Selepas sejuk ia dicampurkan dengan ragi yang sudah ditumbuk halus. Kemudian ia dibungkus atau dibiarkan dalam periuk atau sebarang bekas selama 2 atau 3 hari. Menjadilah makanan ini tapai pulut atau tapai ubi. Amat manis sekali dan sungguh menyegarkan.

Proses membuat tapai ini dinamakan Proses Penapaian di mana yeast atau ragi tersebut menukarkan karbohidrat kanji di dalam pulut atau ubi menjadi glukos di samping pembebasan air, karbon dioksida dan pelbagai vitamin lain sebagai hasil sampingan. Proses penukaran karbohidrat kepada glukos ini tidak terhenti disitu kerana ragi /yeast akan terus menukarkan glukos yang terbentuk kepada etanol.

Daripada penjelasan ini bermakna, tapai ubi / pulut yang telah diperam selama 2 atau 3 hari tersebut telah mengandungi air, glukos, etanol selain vitamin dan produk lain. Persoalannya ialah adakah tapai ini haram dan najis kerana kandungan di dalamnya adalah menyamai dengan minuman bir??

Jawapan kepada persoalan ini ialah tapai pada usia 2 atau 3 hari ini adalah halal kerana ia bukan sesuatu yang memabukkan. Kalau minum / makan tapai dengan kuantiti banyak pun memang ia tidak memabukkan. Tapai pada usia ini iaitu 2 atau 3 hari hanya mengandungi sedikit kandungan alkohol etanol namun kandungan etanol dalam tapai ini adalah lebih tinggi daripada nasi yang sudah berumur hampir 24 jam.

Apabila tapai pulut atau tapai ubi ini dibiarkan pada suhu bilik untuk beberapa hari lagi, lebih banyak karbohidrat kanji ditukarkan kepada glukos dan etanol. Tapai yang sudah berusia 6 hari rasanya walaupun manis namun terdapat rasa yang tidak enak dan rasa ini sebenarnya adalah disebabkan rasa etanol. Pada usia tapai 6 hari ini, kandungan etanol di dalam tapai boleh menjangkau lebih daripada 6 atau 7 peratus iaitu menyamai kandungan etanol di dalam bir. Sekiranya kita makan tapai ini bersama airnya dalam kuantiti satu gelas besar, insya-Allah muka akan menjadi warna kemerahan dan kepala mula pening dan inilah yang dikatakan MABUK. Pada tahap ini tapai yang asalnya adalah harus telah menjadi haram kerana ia memabukkan.

Bagi mereka yang ingin sekali minum arak, mereka selalu berhujah “saya tahu bir memabukkan tetapi kalau saya minum sedikit bir pastinya ia tidak memabukkan”. Persoalan seperti ini adalah persoalan yang diajarkan oleh syaitan semoga manusia minum bir.

Jumhur ulamak telah memutuskan bahawa “setiap yang apabila diminum banyak memabukkan, maka sedikit pun adalah diharamkan.” Berdasarkan ketetapan ini maka bir adalah diharamkan sama ada ia diminum sedikit atau pun banyak.

Terdapat minuman bir tanpa alkohol dan adakah minuman ini diharuskan?? Dari penjelasan saya di atas telah dinyatakan bahawa minuman arak adalah najis. Najis ini merangkumi segala komponen arak ini termasuk air, glukos, etanol, vitamin dan segala garam galiannya. Sekiranya arak yang terbentuk ini disuling untuk mengeluarkan segala alkohol etanolnya sehingga tidak ada lagi baki etanol dalam arak ini, umat islam tetap tidak boleh minum arak tiada alkohol ini kerana ia adalah tetap dihukumkan sebagai najis.

Pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Ipoh pada 11-14 April, 1984, Majlis Fatwa telah mcngambil keputusan tentang alkohol iaitu:

1. Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol itu daripada arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum Berdasarkan keputusan ini, pembuatan Mousy dan Malt Extract adalah haram.

2. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.

3. Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.

4. Tapai halal dimakan

5. Alkohol yang terjadi secara sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boIeh dimakan.

6. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol hukumnya harus dan dimaafkan.

Apa yang perlu ditegaskan berhubung keputusan majlis fatwa nombor 4 di atas yang mengatakan bahawa tapai halal dimakan adalah tidak mencukupi atau tidak lengkap. Memanglah tapai yang berusia 2-4 hari adalah halal dimakan dan tidak memabukkan tetapi tapai yang dibiarkan pada suhu bilik melebihi 5 atau 6 hari adalah haram dan memabukkan. Namun tapai yang dibeli dan disimpan di dalam peti sejuk insya-Allah boleh terus dimakan walaupun berusia seminggu kerana proses penapaian oleh ragi / yeast adalah teramat perlahan apabila disimpan di dalam peti sejuk kerana suhunya yang rendah.

Apa yang menarik sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Islam ialah apabila arak ini telah bertukar kepada cuka, ia menjadi halal semula. Bermula sebagai halal iaitu pulut dan ubi serta tapai, kemudian ia bertukar kepada haram apabila menjadi minuman memabukkan namun apabila ia bertukar kepada cuka, ia kembali halal walau pun di dalam cuka ini mengandungi sedikit etanol yang masih belum sempat bertukar.

Karbohidrat kanji (halal) => glukos (halal) => etanol (sedikit halal banyak haram) => cuka (halal)

Sekian wassalam wallahuaqlam

2 ulasan:

  1. terima kasih atas perkongsian ilmu ini... sebenarnya saya telah ditanya oleh non-muslim mengenai perbezaan arak dan tapai dan terasa amat jahil sekali bila tak dapat menerangkan mengenai isu ini. alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya lebih jelas dengan hal ini dan barulah tau kenapa mak letak tapai dalam peti selepas 3 hari... :-)

    BalasPadam
  2. alhamdulillah...kita sama sama share ilmu :)

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails