(Dikongsikan dari laman web http://www.myhealth.gov.my)
Apakah jenis-jenis gaya keibubapaan?Apakah gaya keibubapaan yang lebih sesuai ?
Apakah kebaikan dari gaya keibubapaan yang positif?
Apakah keburukan gaya keibubapaan yang negatif?
Cadangan ke arah menjadi ibu bapa yang positif
Apakah jenis-jenis gaya keibubapaan?
Ibu bapa lazim menggunakan beberapa gaya seperti yang dinyatakan di bawah:
Gaya Keibubapaan & Ciri-ciri
Berwibawa (Authoritative)
Ibu bapa tegas dan boleh mengawal keadaan
Sedia mendengar pandangan anak
Boleh bertolak ansur jika perlu
Anak-anak membesar dalam suasana penuh kemesraan
Kanak-kanak dijangka untuk berkelakuan intelektual seiring umur dan sosial mereka.
Mengabaikan atau cuai (Neglecting)
Ibu bapa tidak ambil peduli di mana anak mereka berada, apa aktiviti yang dilakukan, siapa kawan-kawannya, tidak tahu hal ehwal pelajarannya serta suasana persekitaran sosial anak mereka.
Ibu bapa terlalu buntu atau sibuk dengan kehidupan dan tugas mereka.
Memanjakan (Indulgent)
Ibu bapa hanya menurut keperluan dan tuntutan anak.
Kurang menetapkan batasan terhadap anak.
Kuku besi (Authoritarian)
Ibu bapa yang terlalu mengawal ketat dan tidak boleh bertolak ansur dengan anak-anak
Menetapkan harapan tinggi dan tidak munasabah terhadap anak-anak
Gagal menjalinkan kemesraan dan komunikasi dua hala.
Apakah gaya keibubapaan yang lebih sesuai ?
Gaya keibubapaan berwibawa kerap dirujuk sebagai Keibubapaan yang positif. Ia adalah gaya keibubapaan yang paling berkesan. Ibu bapa yang berwibawa adalah ibu bapa yang:
Peka dengan perlakuan anak dan memberi galakan, rangsangan serta bimbingan melalui pendekatan disiplin yang asertif dan tidak kasar.
Berinteraksi secara positif, di samping menyemai emosi yang bersesuaian serta bertanggungjawab.
Dapat membantu anak-anak mengawal diri dengan menetapkan batasan dan peraturan rumah.
Gaya keibubapaan yang lain adalah kurang berkesan.
Apakah kebaikan dari gaya keibubapaan yang positif?
Mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak
Meningkatkan rasa harga diri anak
Menggalakkan disiplin diri anak
Mengajar anak berfikir untuk diri sendiri
Menyediakan peluang untuk ibubapa membimbing anak
Membantu anak mempunyai kawalan diri.
Apakah keburukan gaya keibubapaan yang negatif?
Merendahkan rasa harga diri anak
Anak gagal mempunyai sikap asertif
Anak menjadi tidak bertanggungjawab dan kurang matang
Perhubungan antara ibu bapa dan anak menjadi kurang mesra
Anak yang kerap memprotes secara melampau
Cadangan ke arah menjadi ibu bapa yang positif.
Cadangan ,Maklumat dan Contoh bagaimana melakukannya
1.Luangkan masa berkualiti bersama anak
Memperbaiki perhubungan sihat antara ibu bapa dan anak.
Menyediakan peluang kepada ibu bapa untuk mengenali, memahami dan membimbing anak
Minta izin anak untuk turut serta (contoh: "Boleh ibu / ayah bermain dengan awak?")
Tunjukkan yang anda berminat dengan aktiviti anak anda (contoh: "Tengah buat apa tu? ; Boleh tunjuk abah macam mana nak main ni?)
Raikan kejayaan apabila anak telah mencapai sesuatu (contoh: "Wow, awak dapat jawapan yang tepat. Hebatnya!")
2.Kerap menggunakan ungkapan pujian
Penggunaan pujian amat penting. Pujian membuat kanak-kanak memahami apakah tingkah laku yang baik, merasai ibu bapa menyayanginya dan dapat meningkatkan rasa harga dirinya.
Kata-kata negatif tidak membantu malahan boleh merosakkan rasa harga diri anak.
Anak tidak dapat belajar cara memperbaiki dirinya bila disindir atau dimaki. Malah perasaan takut dan marah akan bersarang dalam dirinya. Contoh: takut melakukan kesilapan, takut ibu bapa akan memarahi atau memukulnya jika ia tidak melakukan sesuatu dengan baik. Akhirnya anak akan terus takut untuk mencuba.
Panggil anak dengan namanya atau panggilan yang mesra.
Pastikan anda menjelaskan kepadanya apa kebaikan yang telah dilakukannya.
Nyatakan perasaan anda ("ibu gembira dengan apa yang awak lakukan; "syabas! Ayah amat bangga")
Beri perhatian tambahan terhadap perlakuan positifnya melalui sentuhan, dakapan, ciuman atau tepukan.
Luahkan pujian serta merta dan secara konsisten setiap kali mereka berkelakuan baik.
3.Tetapkan peraturan dan undang-undang di rumah
Setiap keluarga mesti mempunyai peraturan di rumah yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh ahli keluarga.
Anak perlu tahu apa yang seharusnya mereka patuh. Adalah penting setiap ibu bapa menyatakan dengan jelas kepada anak akan peraturan-peraturan tersebut. Kerap berlaku di mana ibu bapa memarahi anak apabila berlaku sesuatu masalah tanpa memperjelaskan perlakuan yang diingini mereka.
Apabila anak berkelakuan yang tidak wajar:
Terangkan apakah tingkah laku yang tidak baik (Contoh: memukul kawan yang mengambil alat permainannya)
Jelaskan mengapa tingkah laku itu tidak wajar
Tunjukkan padanya perlakuan pilihan yang lebih sesuai.
Terangkan kepadanya apakah kesan positif dari tingkahlaku yang sesuai.
Contohnya: "Menjerit, meraung dan memekik adalah tidak sopan dan bising. Jika kamu memperlahankan suara kamu dan beritahu saya apa yang kamu mahu dengan sopan barulah saya akan dengar permintaan kamu itu."
Bawa bertenang. Bercakaplah dengan gaya yang tenang dan sopan. Anak anda akan meniru perbuatan anda.
Jangan marah anak anda semasa anda merasa amat marah kerana pada masa itu anda tidak dapat berfikir dengan baik. Akibatnya anda gagal menjadi contoh yang baik untuk anak anda belajar mengawal perasaan marahnya nanti.
4.Jangan peduli / jangan ambil endah
Ada ketikanya ibu bapa akan menegur tingkah laku anak tetapi anak tetap berbuat sebaliknya dari apa yang dikehendaki ibu bapa.
Pada ketika ini amat penting untuk ibubapa memahami bahawa anak mahukan perhatian dengan perbuatan tersebut. Oleh itu ibu bapa tidak patut mengendahkan perbuatan anak itu. Langkah ini dipanggil "ignoring" atau "tak ambil endah"
Langkah yang patut dilakukan adalah:
Jangan pandang kearahnya
Jangan bercakap dengannya
Asingkan diri darinya seperti keluar dari bilik
Ibu bapa perlu faham bahawa anak kadangkala mahu menguji kesabaran ibu bapa. Oleh itu jangan endahkan ia pada masa itu sehingga ia berkelakuan seperti yang diingini.
Apabila ini berlaku, beri perhatian kepadanya dan bertanya apa yang dikehendakinya. Amat penting untuk anak faham bahawa hanya kelakuan yang baik sahaja yang akan mendapat perhatian ibu bapa.
5.Anak membuat keputusan
Amat penting membimbing anak berfikir untuk diri sendiri dan ibu bapa perlu menolong anak melalui proses atau langkah-langkah membuat keputusan. Elakkan terus membuat keputusan untuk anak.
Pastikan apakah masalahnya.
Bantu anak berfikir cara-cara menyelesaikan masalah
Tentukan langkah yang boleh diambil. "Lakonkan" cara penyelesaian itu
Tanya anak jika itu cara yang boleh dilakukan
Cuba penyelesaian itu.
Bincang bersama jika cara itu berkesan. Jika cara itu tidak berkesan, ulang balik proses membuat keputusan
6.Kemahiran tambahan
Keibubapaan adalah satu cara hidup. Pelbagai situasi boleh timbul dari masa ke semasa yang menuntut kemahiran tambahan
Beri anak anda pilihan untuk menggalakkan ia membuat keputusan seperti "Awak hendak makan atau...."
Beri peringatan awal kepada anak sebelum waktunya seperti "30 minit lagi masuk waktu tidur"
Jika anda mahu anak anda menurut kehendak anda, beri arahan yang anda hendak ia lakukan dengan kata kerja seperti "Tolong simpan mainan kamu", "Jalan perlahan-lahan", "Cakap baik-baik"
Gunakan langkah 'Apabila..... kemudian" untuk menjelaskan kepada anak anda kesan tingkah lakunya seperti "Apabila kamu siap membasuh pinggan, kamu boleh bermain dengan kawan-kawan"
Biarlah tuntutan atau harapan anda bersesuaian dengan apa yang anak anda boleh lakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan