Halaman

Jumaat, 10 Julai 2009

Elakkan Beri Ubat Batuk,Selsema Pada Bayi Anda !

Adakah bayi anda sering selsema dan batuk? Selamatkah ubat yang kita beri pada bayi kita? Baca artikel di bawah sebelum anda beri lagi ubatan tersebut kepada mereka. Info ini penting untuk kita ketahui dalam membuat pertimbangan yang sewajarnya demi kesihatan anak anak kita..
(Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/108137 )

Ubat batuk, selesema tidak sesuai budak bawah 2 tahun


Kebanyakan ubat batuk dan selesema tidak sesuai digunakan bagi kanak-kanak berumur bawah dua tahun, demikian penemuan terbaru Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan.

Susulan itu, Bernama melaporkan, PBKD memutuskan untuk mengehadkan penggunaan produk untuk merawat batuk dan selesema bagi kanak-kanak, kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Eisah A Rahman.

Amaran keselamatan seperti "Tidak sesuai digunakan di kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun" dan "Digunakan dengan berhati-hati dan mengikut nasihat doktor/ahli farmasi bagi kanak-kanak yang berumur di antara 2 hingga 6 tahun" wajib dinyatakan dengan jelas pada label dan sisipan bungkusan produk berkaitan, katanya dalam satu kenyataan.

Produk-produk terlibat adalah sediaan cecair melalui mulut yang mengandungi antihistamin (seperti Brompheniramine, Chlorpheniramine, Clemastine, Dexbropheniramine, Diphenhydramine, Pheniramine, Promethazine dan Triprolidine), antitusif (seperti Dextromethorphan dan Diphenhydramine) dan dekongestan (seperti Ephedrine, Phenylephrine dan Pseudoephedrine) yang digunakan untuk rawatan batuk dan selesema.

Eisah dipetik berkata produk sedia ada di pasaran berkemungkinan tidak mempunyai kenyataan amaran pada label produk mereka.

Tambah pegawai kanan kementerian itu, apabila memberi ubat batuk dan selesema kepada kanak-kanak yang berumur lebih daripada dua tahun, ibu bapa dan pengguna perlu mengikut aturan pemakanan yang dijelaskan.

Pengambilan ubat batuk dan selesema boleh membahayakan jika diberi melebihi dos yang disarankan, memberi terlalu kerap atau mengambil lebih satu jenis ubat yang mengandungi bahan aktif sama.

"Kebanyakan kandungan dalam persediaan ubat batuk dan selesema mengandungi campuran beberapa bahan ubat dan pemberian lebih daripada satu jenis ubat boleh menyebabkan dos yang berlebihan sekiranya tidak berhati-bati," Eisah dipetik berkata semalam.

Tambahnya lagi, demam biasa tidak memerlukan rawatan perubatan yang khusus, kerana kebiasaannya batuk dan selesema yang dialami kanak-kanak boleh sembuh dengan sendirinya.

"Selesema daripada jangkitan virus boleh ditangani dengan rehat, pengambilan air yang mencukupi dan mementingkan keselesaan pesakit," katanya seperti dilaporkan.

Bagaimanapun, kata Eisah, jika simptom berlarutan dan semakin teruk atau tidak menunjukkan tanda-tanda pulih atau disertai dengan demam, mukus pekat dan kahak, pengguna perlu mendapatkan nasihat doktor.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails