Halaman

Rabu, 21 Mac 2012

Bantuan Tanpa Syarat

 
Bantuan tanpa syarat...bunyinya mudah. Melaksanakannya bukan semudah yang disangka. Sudah lumrah insan biasa, setiap bantuan yang dihulur tidak kira sebesar mana, pasti terdetik di lubuk hati mengharap sedikit penghargaan. Tanyalah kepada sesiapa sahaja..pasti akan ada rasa tersebut walaupun sekelumit. 

Namun bila penghargaan tidak diberi atau mula dilupakan, kita juga mula berhenti menghulur bantuan. Lebih parah lagi apabila tiba masanya kita pula yang mengharap bantuan, namun tidak dibantu pula olehnya...maka bertitik tolak dari situ, kita mula menetapkan syarat...asalkan aku dibantu, maka aku akan membantu....kalau tidak jangan haraplah...

Tidakkah kita sedar, sebenarnya Allah sedang menduga sejauh mana keikhlasan kita dalam membantu sesama saudara? Sering kali kita menuturkan ikhlas di bibir, namun hakikatnya sangat sukar menetapkan ikhlas di dalam dada. Kerana ikhlas itu seumpama seekor semut yang sangat hitam yang berjalan di dalam malam yang sangat gelap. Sukar untuk kita tahu kedudukannya di mana melainkan Allah jua yang tahu keadaannya. 

Maka adakah salah kalau kita mengharap sesuatu, lantaran kita hanya manusia biasa yang tidak mampu mengawal kata hati? Sesungguhnya, letakkanlah pengharapan itu kepada Allah...tetapkan bahawa segala pemberi balasan itu adalah Allah SWT...Allah tahu kecil besar kebaikan yang kita hulurkan...Allah sentiasa membalas perbuatan baik yang kita lakukan..Cuma kemungkinan kita  tidak sedar bilakah masanya Allah menolong kita tatkala kita terlalu amat memerlukan bantuan sesiapa.

Sesungguhnya kita dan saudara-saudara lain hanya manusia biasa..kita mudah lupa pada besarnya kebaikan sesama saudara namun sentiasa pula ingat pada kesilapan kecilnya. Kita juga tidak mampu untuk membalas semua kebaikan saudara yang lain, lantaran kita juga insan yang lemah dan hina. Janganlah mudah meletak syarat keduniaan dalam membantu. Jangan pula mudah berkecil hati atas balasan yang diterima dari sesama saudara. Sentiasa bergantung harap kepada Allah, agar kita tidak mudah kecewa dengan setiap sesuatu yang berlaku.

Saya sentiasa teringat pesanan rakan baik saya: Jika kita membantu memudahkan urusan orang, Insyaallah Allah akan membantu memudahkan urusan kita. 

Betapa indahnya hidup bersaudara sesama Islam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails