(from forwarded email)
Hadith:
Daripada Anas RA katanya, “Pada suatu hari Rasulullah melalui
seorang wanita yang sedang menangis di tepi kubur lalu baginda bersabda :
“Bertaqwalah kamu kepada Allah Azza wa Jalla dan bersabarlah.” Perempuan itu
menjawab, “Pergilah, kerana engkau tidak menerima musibah sebagaimana yang
aku alami sekarang.” Perempuan itu tidak mengetahui bahawa yang di
hadapannya itu ialah Rasulullah SAW. Kemudian perempuan itu diberitahu bahawa
lelaki itu ialah Rasulullah SAW lantas dia segera pergi ke rumah Rasulullah dan
didapati tiada penjaga pintu di situ, lalu dia berkata (kepada Rasulullah SAW),
“Sesungguhnya tadi aku tidak mengenali engkau wahai Rasulullah.” Maka Nabi SAW
bersabda, “Sesungguhnya kesabaran itu hanyalah pada insiden (pertembungan)
pertama.
Riwayat: Bukhari dan Muslim
Huraian Hadith:
1. Nabi SAW sangat bertawaduk dan bersikap santun terhadap
orang jahil.
2. Kesabaran menghadapi musibah adalah bukti keimanan dan
taqwa.
3. Amar makruf nahi mungkar wajib dilaksanakan pada
bila-bila masa dan di mana sahaja.
4. Harus bagi wanita menziarahi kubur, kerana Rasulullah
tidak melarang wanita berkenaan daripada menziarahinya.
5. Kesabaran itu dituntut dan dipuji perlakuannya pada
mula-mula pertembungan dengan bala dan kesusahan, kerana dengan berlalunya masa
musibah itu akan dilupakan dan perasaan akan ringan dengan sendiri.
6. Sifat kesabaran itu juga hendaklah dilaksanakan tatkala
kita menghadapi kebingungan (kebuntuan hidup) untuk menghindarkan diri daripada
syaitan dan daripada termasuk ke dalam lubuk kehinaan.
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah
jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan
kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan
kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah
Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap
kaum-kaum yang kafir (albaqarah-286)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan