Halaman

Rabu, 13 Jun 2012

Tekanan berhutang




BERHUTANG tidak salah, tetapi apabila ia di luar kawalan boleh menyebabkan tekanan perasaan, serangan penyakit jantung atau pergolakan rumah tangga. Ia juga boleh membuat seseorang membunuh diri.
Orang yang berhutang dianggap sebagai bermasalah sekiranya gagal membayar ansuran bulanan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.

Secara psikologi apabila seseorang melihat jumlah hutang di dalam penyata banknya semakin bertambah, satu isyarat 'bahaya' akan dihantar ke otak.
Ini akan menyebabkan gejala kerisauan. Si berhutang mulai mengira sama ada mempunyai wang yang cukup untuk membayar tunggakan hutang sewa beli atau pinjaman tersebut.

Kerisauan juga menyebabkan gangguan tidur. Orang yang banyak berhutang sukar melelapkan mata di malam hari kerana ingatan mereka lebih tertumpu kepada pelbagai komplikasi hutang.
Isu berkenaan wang ringgit sangat sensitif di rumah. Mereka mudah naik angin dan adakala memarahi anak atau isteri yang meminta duit belanja.

Bagaimanapun orang seperti ini biasanya masih waras dan akan menyesal keesokan hari apabila melihat anak telah pun pergi ke sekolah tanpa bersarapan atau membawa duit belanja.
Di tempat kerja pula, mereka gagal memberikan tumpuan dan sibuk dengan pelbagai aktiviti luar skop kerja seperti jualan langsung untuk menambahkan pendapatan sampingan.

Tunggakan hutang boleh menyebabkan seseorang dihantui perasaan takut. Mereka tidak menjawab panggilan telefon atau membuka surat kerana takut ia daripada syarikat pemungut hutang atau pejabat peguam.
Bagi peminjam ah long mereka tidak akan membuka pintu rumah apabila diketuk kerana takutkan pelbagai ancaman dan ugutan.

Semasa memandu pula, mereka takut sekiranya kenderaan mereka ditarik.
Masalah kemurungan kebanyakannya berlaku apabila ikhtiar terakhir mereka untuk mendapatkan wang musnah.
Ia termasuk mendapatkan wang dengan cara yang tidak betul. Mereka putus asa terhadap kehidupan dan hanya melihat kematian sebagai jalan penyelesaian.
Bagi yang tidak mempunyai polisi insurans nyawa mereka tergamak membunuh anak dan isteri bersama.

Panduan psikologi menguruskan hutang

Langkah pertama, analisis jumlah hutang, komitmen bulanan dan bandingkan dengan pendapatan anda. Lihat berapa yang kurang. Maafkan diri atas sebarang kesilapan yang menyebabkan anda berhutang. Jangan bersedih kerana ada ramai lagi orang seperti anda yang mempunyai masalah serupa.

Peruntukkan satu hari dalam sebulan untuk membuka semua surat penyata hutang anda. Tetapkan keazaman yang anda akan selesaikan semua hutang tersebut satu hari nanti. Percayalah apabila anda melihat jumlah hutang semakin berkurang, anda akan merasa gembira kerana ia adalah bukti kejayaan. Anggaplah ia satu saat indah yang perlu berlaku pada setiap bulan.

Kurangkan pemiutang anda. Anda mungkin berhutang kepada sepuluh buah bank pada satu masa. Pilih jumlah yang paling kecil dan bayar sepenuhnya. Anda akan merasa lebih selesa kerana jumlah pengutip hutang yang akan menghubungi anda semakin berkurang.

Atur semula sewa beli dan pinjaman. Utamakan pinjaman yang mempunyai kadar faedah paling tinggi. Berbincang dengan pihak bank berkenaan pembiayaan semula atau pembayaran separuh.
Perbetulkan perbelanjaan mengikut kemampuan. Jangan berbelanja untuk bermegah. Orang mungkin memuji, tetapi pujian tersebut tidak bermakna sekiranya anda terseksa untuk membayar ansuran bulanannya. Utamakan dahulu keperluan asas seperti makanan, bil utiliti rumah dan yuran sekolah anak-anak.

Berterus-terang dengan keluarga tentang masalah kewangan dan langkah berjimat cermat. Tidak ada salahnya walaupun anak kecil anda menawarkan duit syiling mereka untuk membantu. Ia menunjukkan pemahaman dan boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Banyakkan masa di rumah kerana ia boleh mengurangkan perbelanjaan di luar.

Jangan percaya dengan kaedah pantas mendapatkan wang seperti pinjaman ah long, skim cepat kaya atau judi kerana ia terbukti memudaratkan. Jangan melabur dalam sesuatu yang tidak pasti.
Apabila anda gagal menguruskan sendiri, jangan malu mendapatkan bantuan luar. Anda boleh berhubung dengan perunding hutang di bank atau agensi pengurusan kredit yang tidak berasaskan keuntungan untuk mengurangkan kadar faedah atau mengumpul kesemua komitmen bulanan dalam satu bayaran.

Jumaat, 8 Jun 2012

Kenali Peribadi Wanita Melalui Beg Tangan

Beg tangan merupakan satu keperluan penting bagi setiap wanita. Ia bukan sahaja digunakan untuk mengisi barang, tetapi turut dijadikan aksesori untuk digayakan setiap masa. Disamping itu, terdapat pelbagai jenis beg tangan wanita yang berada di pasaran, sama ada dari jenis clutch, satchel, hobo, dan sebagainya. Kesemuanya mempunyai pelbagai bentuk dan fungsi serta peminatnya yang tersendiri.
Dalam pemilihan dan penggayaan beg tangan, ia terselit rahsia disebalik peribadi seseorang itu sendiri. Contohnya seperti penggayaan beg tangan yang terdiri dari jenis clutch, ia menggambarkan bahawa wanita tersebut memiliki keyakinan dan kepercayaan diri yang kuat dalam menjalani kehidupan sehariannya. Disamping itu, ia juga menggambarkan bahawa wanita ini dapat menjadi seorang kawan yang baik kepada sesiapa sahaja dan merupakan seorang kawan yang setia menemani tidak kira disaat susah mahupun senang.

Beg jenis clutch ini merupakan sejenis beg tangan kecil yang lebih merupai seperti purse ataupun wallet. Kebiasaanya ia tiada tali atau sebarang pemegang, maka ia selalunya dipegang dalam tangan ataupun dikepit dibawah ketiak. Selain itu, beg jenis ini tidak boleh    mengisi barang yang terlalu banyak atau barang yang terlalu besar. Maka, kebiasaanya wanita menggayakan beg jenis clutch ini untuk menghadiri majlis-majlis tertentu sahaja.
Selain clutch, antara jenis beg tangan lain yang sering wanita gayakan adalah beg dari jenis satchel. Satchel merupakan beg tangan jenis kecil, yang biasanya mempunyai tali galas yang panjang. Biasanya wanita yang menggayakan beg tangan jenis satchel ini merupakan wanita yang berperwatakan lemah lembut dan bersopan santun. Namun begitu, wanita jenis ini merupakan seorang yang amat tegas dan tekun dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya.

Disamping itu, wanita yang menggayakan beg tangan jenis satchel ini juga merupakan seorang yang peramah serta melayan orang-orang di sekelilingnya dengan baik dan amat disenangi oleh semua pihak. Selain itu, wanita dari kategori beg ini juga mempunyai impian yang besar dan akan sentiasa berusaha untuk berjaya mencapai impiannya, serta seorang yang suka menggembara bagi menimba pengalaman-pengalaman baru.
Beg tangan yang bersaiz besar atau lebih dikenali sebagai jenis hobo, turut digayakan oleh wanita. Lazimnya, beg tangan jenis ini mempunyai dua jenis tali, dimana ia boleh digayakan dengan dua cara. Sama ada di galas dengan menggunakan tali panjang, ataupun di galas dengan menggunakan tali pendek. Beg tangan jenis ini boleh mengisi barang yang banyak  dan sangat sesuai bagi mereka yang sering melakukam aktiviti luar.

Selalunya wanita yang menggayakan beg tangan jenis hobo ini, merupakan seorang yang aktif, suka meneroka perkara-perkara baru serta mempunyai banyak minat dalam apa jua perkara. Sebenarnya perkataan ‘Hobo’ itu sendiri dalam bahasa inggeris turut membawa maksud suka merantau ataupun suka akan cabaran. Disamping itu, wanita dari kategori beg hobo ini juga merupakan seorang yang agak bijak serta sering memiliki idea-idea yang bernas dalam sesuatu perkara. Namun begitu wanita dari kategori ini turut mempunyai kelemahan, iaitu mereka sering kurang fokus dalam apa jua perkara yang dilakukannya serta seorang yang cepat berputus asa, apabila sesuatu yang diusahakannya menemui kegagalan.
Berikut merupakan beberapa jenis beg tangan yang sering digayakan oleh wanita dan setiap satunya mempunyai keperibadian yang tersendiri. Ini menunjukkan bahawa wanita merupkan seorang yang berketerampilan dalam apa jua situasi serta bijak dalam menggayakan fesyen dalam kehidupan seharian. Dengan ini, diharapkan ia dapat memberikan ilham untuk wanita, dalam pemilihan beg tangan di masa hadapan.

Selasa, 5 Jun 2012

Anak Yatim


Seorang anak yatim yang kehilangan ibunya, lalu dilukis wajah ibunya dilantai dengan tulisan “MAMA” dan terlena dalam pelukan ibunya. Bagaimanakah kalau kita berada ditempat beliau

“Demi yang mengutus aku dengan hak, ALLAH tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya…”  (At-Tabhrani)



...from forwarded email.

Jumaat, 11 Mei 2012

Bulan lebih besar dan bercahaya

sumber : www.kosmo.com.my



PADA 6 Mei lalu, penduduk Bumi sekali lagi berpeluang menyaksikan keindahan bulan penuh besar. Kejadian yang diberi julukan supermoon oleh peramal bintang, Richard Nolle pada tahun 1979 itu ibarat acara tahunan yang dinanti-nanti.
Fenomena global itu banyak dirakamkan oleh jurugambar profesional terutama di mercu tanda ternama. Imej bulan besar di sebalik Patung Jesus di Rio de Janeiro, Brazil dan bersebelahan Kuil Poseidon, berhampiran Athens, Greece menunjukkan betapa indahnya kejadian alam itu.
Bagaimanapun, sebahagian besar warga Britain terlepas detik itu gara-gara awan tebal yang meliputi langit negara tersebut. Hanya penduduk di kawasan barat laut dan barat daya England dan Wales dapat menyaksikan bulan paling besar sepanjang tahun ini itu.
Secara saintifik, fenomena bulan besar terjadi apabila bulan menghampiri Bumi pada jarak yang lebih dekat daripada biasa. Tahun ini, kedudukan bulan dicatatkan pada jarak 356,955 kilometer (km) dari Bumi berbanding jarak biasa kira-kira 384,000km.
Bulan besar membuatkan bulan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada bulan penuh lain. Perigi (perigee) ialah terma saintifik paling tepat untuk bulan penuh tersebut. Perlu diketahui bahawa setiap bulan penuh yang terjadi mempunyai saiz yang berbeza.
Hal itu disebabkan ia beredar pada orbit berbentuk bujur dan mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai perigee manakala bahagian kedua dipanggil apogi. Saat bulan penuh terjadi,perigee berada pada jarak 50,000km lebih dekat dengan Bumi daripada apogi. Kesannya, bulan perigeetampak lebih besar dan bercahaya.
Tidak disangkal, jarak yang dicatatkan ketika bulan besar menunjukkan perbezaan daripada bulan penuh waktu lain. Namun, ukuran sebenar rumit untuk ditentukan.

SEJAK minggu lalu, bulan kelihatan lebih terang dan besar.


Ilusi dan mitos
Wakil Pejabat Meteorologi Amerika Syarikat (AS), Dan Grey memberitahu, bulan besar kelihatan mengagumkan ketika ia berada di garisan ufuk. Posisi bersebelahan rumah atau pokok memberi gambaran betapa besarnya bulan itu kelihatan.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik AS juga berpendapat, waktu terbaik menikmati pemandangan bulan besar itu adalah ketika ia menghampiri horizon.
Bulan pada kedudukan rendah tampak amat besar apabila dilihat di celahan pokok, bangunan atau objek-objek yang berada di hadapannya. Ia merupakan alasan yang tidak difahami pakar astronomi dan psikologi sendiri.
Dr. Robert Massey dari Persatuan Diraja Astronomi AS pula menyatakan, mata manusia berfungsi dengan baik bagi mengimbangi perubahan kecerahan bulan sehingga tiada yang perasan pertukaran ketara tersebut. Apa yang dikesan kebanyakan orang ialah saiz bulan itu sahaja.
Para saintis menambah, sejauh mana pun kedudukan bulan, ia tidak akan menjadikan manusia tidak siuman, melakukan jenayah atau kepercayaan lain yang dianggap karut.
Pakar psikologi, Scott Lilienfeld dari Universiti Emory, Atlanta, AS mengatakan, tanggapan bulan penuh menyebabkan kelakuan aneh merupakan antara mitos terbesar dunia.
"Orang berpegang pada kepercayaan tersebut berpandukan kepekaan mereka terhadap sesuatu insiden. Sekiranya berlaku perkara luar biasa ketika bulan besar, mereka terus melabelkannya sebagai kejadian aneh.
"Namun, apabila tiada apa terjadi, mereka sekadar mendiamkan diri. Kesimpulannya, segala kejadian yang berlaku dalam jangka masa bulan besar hanyalah kebetulan," ujar Lilienfeld.

BULAN besar kelihatan hebat dilihat dari celahan kubah masjid di Kaherah, Mesir.


Kekarutan tersebut timbul daripada cerita rakyat yang dipercayai disampaikan sejak Zaman Pertengahan. Antara kisah pelik yang dikaitkan dengan fenomena bulan besar ialah pertambahan bayaran untuk kemasukan hospital, peningkatan kadar jenayah dan perubahan tingkah laku manusia.
Majoriti kajian moden bagaimanapun menunjukkan hal sebaliknya. Tiada perkaitan antara fasa bulan dengan insiden jenayah, sakit atau tindak-tanduk manusia. Kenyataannya, pengaruh bulan terhadap Bumi amat kecil berbanding khabar angin yang diwartakan.
Air pasang
Setiap tahun, bulan besar tampil dengan saiz yang berbeza. Tahun lalu, kedudukan bulan dicatatkan sejauh 356,575km iaitu jarak paling hampir pernah direkodkan sejak dua dekad lalu.
Fenomena tahun ini telah menenggelamkan pancuran meteor daripada sisa-sisa komet Halley yang melewati Bumi setiap 76 tahun. Namun, kesan utama terhadap cuaca planet yang berada pada kedudukan ketiga dari matahari ini ialah air pasang.
Walaupun kedengaran berbahaya, menurut kenyataan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS, hal itu bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Di kebanyakan tempat, graviti bulan besar menarik pasang surut air hanya beberapa sentimeter (sm), lebih tinggi daripada biasa.
Kawasan daratan pula hanya dinaiki air sehingga 15sm tetapi tidak akan mencetuskan banjir besar.
Pengarah Jabatan Astronomi Muzium Astronomi dan Planetarium Chicago, AS, Geza Gyuk menjelaskan, menjelang bulan baharu atau penuh, air pasang akan berada pada tahap yang tinggi.
Fenomena tersebut boleh menyebabkan ribut dan banjir tetapi belum ada bukti saintifik mengaitkannya dengan gempa bumi atau bencana alam lain.
"Bulan besar telah berlaku sejak berbilion tahun dahulu. Tiada apa yang istimewa tentang fenomena ini melainkan langit malam yang cantik," ujar Gyuk lagi.
Tsunami Jepun

PERUBAHAN kedudukan bulan dikatakan mempengaruhi hasil tangkapan nelayan.


Beberapa hari sebelum fenomena bulan besar tahun lalu, Jepun dilanda tsunami dan gempa bumi paling dahsyat pernah dialami negara tersebut. 12 Mac 2011 menjadi detik hitam buat rakyat Jepun yang kini bangkit perlahan-lahan daripada malapetaka tersebut.
Secara kebetulan, pada 19 Mac tahun yang sama, fenomena bulan besar pula terjadi sekali gus menimbulkan spekulasi tentang hubung kaitnya dengan bencana di Jepun.
Tidak dinafikan, bulan besar mampu memberi impak terhadap aktiviti seismik disebabkan interaksi graviti yang kuat antara bulan, matahari dan Bumi.
Bagaimanapun, tiada bukti jelas yang boleh mengaitkan fenomena tersebut dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun.
"Gempa bumi di Jepun terjadi ketika kedudukan bulan berada pada jarak normal dengan Bumi.
"Mungkin ada beberapa kejadian gempa bumi yang mempunyai sedikit perkaitan namun kejadian di Jepun tidak dikira," begitu penerangan oleh pemerhati astronomi untuk Balai Cerap Griffith di Los Angeles, Anthony Cook.

Rabu, 9 Mei 2012

Menyayangi sementara masih ada masa...


Minggu hadapan, genaplah 12 tahun kepulangan arwah ayah saya ke rahmatullah. Terlalu cepat masa berlalu, bagai semalam segalanya berlaku. Kemalangan itu, telah meragut nyawa seorang bapa secara tiba-tiba dengan meninggalkan keluarganya terkapai-kapai serta hilang punca.

Namun, benarlah...semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya kami yang tinggal yatim, masih ada ibu tempat berlindung. Sejak dari hari itu, saya belajar untuk menyayangi setiap insan yang masih hadir di dalam hidup dengan mengetahui bahawa kita perlu bersedia untuk kehilangannya pada bila-bila masa. Kehilangan insan tersayang bukan hanya tertakluk kepada kematian. Perpisahan, perpindahan, semuanya akan menyebabkan kita akan berasa kehilangan.

Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat memilih untuk dimatikan cara mana, siapa yang akan mati dahulu, perpisahan di sini atau di sana...Namun, kita selalu terlupa, Allah anugerahkan kita MASA yang tidak ternilai harganya untuk kita isi sebaik-baiknya. Bagaimana kita mengisi masa ini ketika ini? Sibuk menyiapkan kerja yang tak pernah siap? Sibuk bergaduh dan bertengkar? Atau sibuk memikirkan bilalah lagi masa yang tidak sibuk?

Tidakkah kita mahu menyibukkan diri menyayangi insan-insan sekeliling kita kerana kehilangan mereka pada bila-bila masa adalah benar? Tidakkah mahu menyibukkan diri menyayangi diri sendiri kerana kita juga akan kehilangan nyawa pada bila-bila masa dari sekarang?

Tidakkah mahu kita menyesal sekarang daripada menyesal kemudian?

Khamis, 3 Mei 2012

Kerja Kecil, Jiwa Besar


“Pergi ke masjid di sana dan belajarlah sesuatu daripada seorang lelaki.” Begitulah pesanan gurunya.  “Lelaki yang mana satu?” Tanya si murid, untuk lebih jelas.  “Kamu akan tahu nanti.”

Si murid pun pergi ke masjid yang dimaksudkan.  Setelah solat dia melihat seorang lelaki sedang membaca al-Quran.  Lama ditunggunya, tetapi lelaki it uterus membaca al-Quran tanpa mempedulikannya.  Dia terpandang pula seorang lelaki berhampiran mihrab, sedang menelaah beberapa buah kitab.  Setelah memberi salam, dia menegur, “Tuan, bolehkah tuan agar saya sesuatu?”  “Maaf, saya sibuk nie.  Awak datang tidak kena pada masanya,” jawab lelaki itu tanpa melihat pun kepadanya.  Matanya terus asyik melihat kitab-kitab yang sedang dibacanya.  Si murid agak kecewa.  Siapakah lelaki yang dimaksudkan oleh gurunya?

Oleh kerana tiada orang lain lagi di dalam masjid itu, maka ia pun bercadang untuk pulang.  Ketika menyarung kasutnya dia terpandang seorang lelaki yang agak tua, sedang membersihkan longkang masjid.  Pak cik itu menegurnya dengan ramah dan mesra sekali.  “Dah berapa lama pak cik kerja di sini?” tanyanya, sekadar memeriahkan perbualan.  Tidak ada apa-apa ilmu agama pun yang boleh dipelajari daripada lelaki yang kerjanya membersihkan longkang masjid ini, bisiknya dalam hati.  “Hampir 15 tahun.” “Seronok.” “Seronok sekali nak,” kata lelaki itu sambil tersenyum.  Dilihatnya cara pak cik itu membersihkan longkang masjid begitu halus dan teliti.  Celah-celah longkang yang paling kecil dan sempit dicucinya.  Begitu tekun sekali.  “Pak Cik, celah-celah rekahan longkang itu pun pakcik cuci. Hairan saya.”  “Apa nak dihairankan.”  “Bukannya ada orang nampak pun benda-benda kecil sebegitu……………….”

“Tapi Allah nampak nak,” kata pak cik itu sambil tersenyum.  Murid tadi terdiam.  Rupa-rupanya pak cik itulah yang dimaksudkan oleh gurunya!

  
Pengajaran:

Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan.  Penilaiannya adalah Tuhan.  Allah yang menilai amal pada harga sebuah iman.  Jangan tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang besar.   Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin menjadi punca keberkatan Allah, maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang kita anggap kecil.  Ia menjadi punca murka Allah.  Dalam setahun, mungkin seorang dua sahaja warga negara kita yang mati dibaham harimau.  Namun, jumlah yang mati kerana gigitan seekor nyamuk, jauh berganda.  Yang kecil jangan dipandang remeh, yang besar jangan disangka segala-galanya. 

Mari luruskan saf, mari kemaskan saf, mari habiskan makanan, mari pelihara adab dalam iman.  Murahkan senyuman, banyakkan membuat kebaikan yang mudah dan kecil tapi berpanjangan.  Mengubah ranting dari jalan agar jangan ada yang kesakitan, memandang wajah saudara dengan air muka manis penuh senyuman

Banyak-banyakkan berbuat kebaikan, tidak diketahui yang mana bakal dipilih Tuhan, jadi pemboleh ke syurga yang berkekalan………

Kerja yang kecil sekalipun tetapi jika dibuat dengan hati yang besar akan mendapat nilaian yang tinggi daripada Allah.  Hati yang “besar” ialah hati yang mengharapkan keredaan Allah, yakni ganjaran yang lebih besar berbanding nilaian manusia. 

Source: forwarded emails..

Rabu, 2 Mei 2012

Testimoni Minyak Kelapa Dara

Minyak kelapa dara mempunyai 1001 khasiat yang selama ini mungkin tidak kita ketahui. Saya sendiri sebelum mengenalinya memandang sinis kepada minyak ini...yelah..nama pun seperti kurang komersial saja..tak seperti minyak ikan kod, pati buah itu, pati buah ini..harga pula murah saja...yang saya tahu, minyak kelapa dibuat masak saja..tak lebih dari itu..itu pun arwah opah saja yang rajin buat...sekarang ni kat kampung dah tak ada dah...macam tak ada klas saja guna minyak kelapa...orang biasa guna minyak sawit, minyak bunga matahari, minyak zaitun...

TAPI...

Setelah mengenali dan merasai sendiri kehebatan minyak kelapa dara...pergantungan kepada ubatan dan produk kimia moden sudah banyak berkurangan. Dengan kos di bawah RM40, saya dapat menjimatkan wang beratus-ratus ringgit semata-mata untuk mendapatkan kulit sehebat jenama mewah antarabangsa. Jimat kos penjagaan rambut, jimat kos ubat-ubatan. Juga jimat dari segi makanan kesihatan kerana sebelum ini saya mengambil beberapa jenis makanan kesihatan untuk fungsi yang berbeza-beza. Juga saya tidak perlu risau mudarat akan  pemberian vitamin-vitamin kimia kepada anak-anak kecil. Saya telah lama memberikan mereka minyak kelapa dara dan ternyata ia jauh lebih bermanfaat daripada vitamin2 kimia tersebut.

Berat badan juga dapat diturunkan dengan mudah bila mengambil minyak kelapa dara beserta senaman. Masalah muka saya yang sentiasa rasa gatal gatal dan merenyam terutama selepas makan makanan laut juga telah jadi sejarah. Alhamdulillah, Allah kurniakan Minyak Kelapa Dara ini untuk kita...

Di pasaran ada banyak jenis, tapi saya hanya setia pada nufera sahaja 

Untuk bacaan lanjut, boleh lawati laman beberapa web berkaitan yang menarik iaitu seperti:




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails