Halaman

Isnin, 24 Oktober 2011

Stress


Adakah seorang manusia di dunia ini yang tidak stress...? Saya yakin, saya stress, anda pembaca juga sedang stress...

Stress adakalanya baik, adakalanya buruk...ia jadi baik bila ia mampu mendorong seseorang untuk meningkatkan kualiti sesuatu, contohnya kerja, prestasi sukan....

Namun, adakalanya apabila tidak ditangani dengan baik, stress akan berubah menjadi masalah...perkara yang kecil akan dilihat sebesar gunung. Langit juga umpama seakan runtuh menimpa kepala. Seakan sudah tidak nampak jalan di hadapan...

Akhirnya stress akan menjadi bala yang membawa kepada hilang pertimbangan...pukul memukul, dera mendera, hatta membunuh juga boleh terjadi. Ada juga yang jatuh sakit hingga gagal bangkit.

Tidak bolehkah kuman stress ini dibunuh?

Sebilangan orang akan menyanyi, menari, clubbing sebagai cara menghilangkan stress...betulkah cara ini berkesan? Pernah menonton wayang ketika stress? Apa yang berlaku setelah wayang tamat? Telah tamat stress anda atau stress yang baru pula bertambah? Ada juga yang pergi melancong, namun stress masih juga mengintainya..

Pada saya, hanya satu cara sahaja yang ada untuk kita buang bebanan perasaan ini...kita cuma perlu kembali semula kepadaNya...mengadu kepadaNya...mohon kepadaNya, supaya bebanan perasaan ini diangkat pergi dari kita...hanya ini sahaja caranya...hanya ini...kerana kita benar-benar tiada kuasa ke atas badan yang diberi pinjam ini oleh Allah. Oleh kerana sangat lemahnya kita ini, maka kepada yang lebih berkuasalah kita meminta...kepada pemilik mutlaklah kita memohon...

Cuma satu, benar-benarlah kita memohon kepadaNya...dengan rasa kehambaan, dengan rasa rendah diri...bukan dengan rasa keegoan, dengan acuh tak acuh...di luar masih juga berterusan dengan dosa...pakaian juga dengan tidak berlandaskan agama...percakapan masih juga berbaur dosa..hati masih juga leka...

Stress hanyalah bebanan hati, sedangkan apabila hati dilapangkan Allah...barulah mata akan terlihat jalan dihadapan. ketika jalan telah terbuka, barulah anggota badan juga akan turut sama rajin bekerja. Bila urusan terasa ringan, bebanan stress yang dirasa akan segera berlalu bagai ditiup angin...Subhanallah...sesungguhnya  benar benar kita adalah insan yang lemah, hanya pada Allah kita bergantung harap.




Khamis, 6 Oktober 2011

Fikir Tapi Jangan Khuatir


pic source: www.yaariclub.com

Rancang dan bekerjalah dengan apa yang ada di tangan.  Jangan bimbang akan hal-hal tidak menentu dalam angan-angan.  Yang di tangan itulah yang sebenar.  Yang dalam angan-angan itu masih samar.  Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar – masa lalu yang telah jadi memori; masa depan yang masih ilusi.  Hidup hakiki ialah hari ini.  Itulah yang realiti.  Kata cerdik pandai:  “Beradalah di tempat kamu berada.”  Maksudnya, jangan lari dari reality.  Usah absent minded.  Hidup dan beradalah dalam hari ini.  Jangan khuatiri hari esok.  Jangan bimbangkan hari semalam.

Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.  Hidup umpama membaca lembaran demi lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal.  Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang ‘mood’ untuk membacanya.  Atau terlalu gelojoh, hingga membaca secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib mukasurat.  Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. 

Begitulah juga dalam soal ‘membaca’ kehidupan ini. ………….

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti.  Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan.  Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku.  Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah Dia yang tidak berubah-ubah.

Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban kebimbangan masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini.  Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak.

“Masa lalu adalah kelmarin yang telah mati.  Masa depan adalah esok yang belum lahir………… tetapi selamatkanlah hari ini yang sedang hidup.”  Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu  salahkah kita merancang untuk masa depan?  Tidak.  Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok.  Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir.  

Banyak bezanya antara fikir dan khuatir………

(from forwarded email..)

Selasa, 4 Oktober 2011

Makna kepada Cinta kepadaNya...


Makna yang manakah kita namakan kepada cinta kepada pencipta kita, Allah SWT, Tuhan yang Maha Agung, Tuhan sekelian Alam...

Apakah maknanya pada cinta yang sedikit sekali pada zikir, sedikit juga pada syukur, sedikit juga pada sedekah dan zakat. Membaca ayat-ayat cintaNya juga jauh sekali. Lebih malang sekali apabila juga jarang-jarang sekali telinga ingin mendengar alunan ayatNya.

Apakah maknanya pada cinta pada yang wajib 5 waktu, sekadar melepaskan batuk di tangga...seolah-olah memberi sedekah pada si fakir yang meminta-minta..asal memberi, ikhlasnya tiada..

Apakah maknanya pada cinta yang mana menahan lapar dahaga yang dilaksana dengan penuh keluh kesah? Juga gembira meninggalkannya dengan harapan akan menggantikannya pada waktu yang lain?

Apakah maknanya pada cinta yang mana wang dikeluarkan atas namanya, namun rupanya riak semata-mata?

Apakah maknanya pada cinta yang mana keluh kesah silih berganti di mulut dan hati, sambil memperkecilkan tiap-tiap nikmat yang diberi?


Namun, apakah yang kita dapat dari cintaNya? Segala-galanya tanpa Dia mengharap untuk dibalas setiap satunya....Apakah ketetapannya adalah untukNya semata-mata? Adakah Dia akan musnah tanpa kita menyembahNya? SesungguhNya Maha Suci Allah dari semua yang fana. Kitalah yang sebenarnya memerlukanNya sepanjang masa...sepanjang masa...

Siapakah kita untuk tidak mahu mencintaiNya? Kita bukanlah sesiapa pun...bukan sesiapapun...hanya hamba yang sentiasa yang bergantung harap namun tidak sedar-sedar akan lemahnya diri sendiri..Nmun Allah tetap juga tidak pernah lupakan kita, tak pernah juga tidak menyayangi kita...walaupun kita hamba...namun layananNya bukanlah seperti tuan-hamba di kalangan manusia. LayananNya istimewa..boleh meminta, boleh mengadu, sentiasa dibantu dan dijaga sebaik-baiknya..

Oleh itu, apakah makna yang kita berikan kepada cinta kita kepadaNya?


Hati





(maksud doa Rasullullah SAW):

Ya Allah, Anugerahkanlah untukku hati yang benar benar bertakwa, suci lagi bersih. Bukannya hati yang kufur dan bukannya hati yang celaka.

Sesungguhnya hati ini bukanlah milik mutlak kita. Di suatu hari kita membenci seseorang, hari yang lain kita menyayangi pula orang yang sama. Hari ini kita menyayangi, belum tentu esok masih lagi menyayangi. 

Hari ini kita berasa tenang, belum lagi tahu apa nasibnya esok hari...

Hari ini hati kita gembira, apakah gembira itu sampai ke esok hari juga?

Hari ini hati kita ikhlas membantu, adakah esok tidak akan ikhlas itu terpalit dengan riak?

Sesungguhnya benar-benar kita tiada daya ke atas satu apa pun di atas dunia ini melainkan dengan pertolonganNya.

Sesungguhnya benar-benar kita adalah zalim kepadaNya bilamana kita berjaya adalah semata-mata atas daya usaha kita tanpa hati kita sedar semuanya adalah atas pertolonganNya...namun, bila kita gagal, secara tanpa kita sedar hati kita pula menyalahkanNya.

Kadangkala tanpa kita sedar, hati kita perkecilkan nikmat yang diberiNya tanpa kita sedari.Bila diduga, hati kita berkata Dia sedang menzalimi kita. Adakah mungkin Allah yang Maha Penyayang sedang menzalimi kita, sedang kita yang tidak tahu berterima kasih kepadaNya terus terusan berlaku tidak adil ke atas segala pemberianNya?

Semoga Allah terus menetapkan hati kita dalam keimanan kepadaNya, memberi hati yang sentiasa bersyukur dan bersabar kepadaNya pada setiap sekecil-kecil nikmat dan sebesar-besar dugaan yang diberiNya.

Isnin, 3 Oktober 2011

Masa



salam semua,

Saya mohon maaf kerana tidak update sekian lama...hambatan tugas tugas di pejabat bertali arus..menuntut untuk diselesaikan setiap satunya.

Kali ini saya ingin luahkan sesuatu...iaitu masa...

Saya yakin, semua pembaca sedar yang masa berlalu semakin pantas...pejam saja mata di malam hari, sekelip mata juga pagi pun menjelma...baru sahaja selesai dalam kesesakan jem di pagi hari..sudah perlu pula menempuh kesesakan jem di petang hari...baru sahaja sampai di rumah, malam pun menjengah...baru sahaja menonton TV, jam sudah melewati separuh malam...

Betapa pantasnya masa berlalu, sehingga ingin sebentar dunia ini berhenti. Sekadar melepaskan lelah, kerana saban waktu dihambat oleh perjalanan hidup yang sebegitu memenatkan. Bukan sahaja yang bekerja, yang bekerja di luar, bekerja di rumah hatta yang tidak bekerja pun merasakan larian masa yang semakin laju meninggalkan kita...

Inilah yang dikatakan akhir zaman...dunia sudah sampai ke hayat hujungnya. Salah satu tanda hari akhir bakal tiba adalah dengan merasakan waktu yang semakin pantas berlalu. Sebenarnya masa itu berlalu seperti itu juga sejak Allah menciptakan masa, cuma keberkatannya sudah mula menghilang. Umpama duit yang tidak berkat, walaupun banyak masih juga tidak cukup-cukup...

Tiadakah penyelesaiannya? Ada...hanya dengan doa kepada yang Maha Esa...mohonlah doa agar diberikan sedikit keberkatan masa kepada kehidupan kita...agar tidak terasa pantasnya masa berlalu..kerana masa itu juga bukan kita yang punya...mintalah pada yang mempunyainya...Insyaallah, kita akan rasa nikmatnya masa...sebagai contoh nikmat masa ialah banyak perkara kita lakukan dan rasa seperti waktu telah banyak dihabiskan untuk tugas-tugas tersebut. Namun, bila menoleh ke arah jam, baru beberapa minit sahaja masa berlalu...pada ketika itu, hanya perkataan Alhamdulillah sahajalah yang layak untukNya.

Namun begitu, istiqamahlah dalam berdoa...insyaallah, Allah sentiasa menbantu kita...



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails