Halaman

Selasa, 20 Disember 2011

Tiada Masa, Tapi Nak Buat Banyak Perkara.


Allah SWT menganugerahkan manusia masa...setiap orang mempunyai masa yang sama banyaknya...Ya, 24 jam sehari...Di dalam 24 jam ini, semua manusia mempunyai pelbagai keperluan dan keinginan untuk mengisi masa masing-masing. Selain bersolat dan beribadah, masa diisi dengan bekerja, tidur dan bersilaturahim sesama manusia. Ada juga yang ingin melakukan hobi, bersukan, berhibur, belajar  dan lain-lain...

Sering kali kita berasa seolah-olah tidak cukup masa. Di awal pagi kita bangun, mengemas diri, dan kemudian menjalankan rutin masing-masing. Tengahari rehat, petang pulang semula ke rumah. Baru sahaja merebahkan badan malam pun menjelma. Sedar -sedar, esoknya pagi menjengah sekali lagi...Bosan, cukup bosan pada rutin hidup yang sama setiap hari. Tiba-tiba kita akan mula berfikir, alangkah baiknya jika aku menjadi itu, jika aku menjadi ini. Mungkin aku akan bahagia jika aku tidak terbeban dengan tugas dan rutin sebegini....

Sedarkah kita, apa yang difikirkan itu mungkin sahaja seolah-olah kita memperkecilkan apa yang telah ditentukan untuk kita? Siapakah yang menentukan ini semua? Adakah kita sedang mengomel menyalahkan diri sendiri atau Allah Yang Maha Berkuasa?

Sesungguhnya Allah menentukan segalanya. Namun Allah menyuruh kita berusaha. Saya juga akui kadangkala merasa amat terbeban dengan tugas sebagai pendidik. Dengan bebanan tugas sampingan, saya hampir kelelahan mengejar waktu menyiapkan kerja sebelum pulang lewat petang. Bila sampai di rumah, saya benar-benar tidak punya tenaga untuk melaksanakan apa yang saya mahu laksanakan. Saya juga punya keinginan untuk masa senggang yang panjang yang mana saya boleh membaca buku kegemaran saya, mencuba resipi baru, menjahit baju, menghias rumah...ya, seperti surirumah sepenuh masa. Namun, Allah mentakdirkan saya untuk turut sama menyumbang membangunkan modal insan di dunia ini. Adakah boleh saya menolak amanahNya? Oleh itu, bagaimana boleh saya dapat semua perkara kecil yang saya inginkan?

Pertama sekali, perlu ada penetapan semula minda. Sebagai seorang hamba Allah, dan bergelaran sebagai anak, isteri, ibu, dan pekerja sekaligus, sudah tentu masa yang ada perlu dibahagi-bahagikan dengan sewajarnya. Jika dulu, saya sebagai hamba Allah, anak dan pelajar sahaja, kurang tanggungjawab dan banyak masa terluang. Namun sekarang dengan sebanyak ini gelarannya, kita perlu terima dahulu hakikat yang kita punya banyak tanggungjawab, sedikit waktu senggang.

Sering kali kedengaran keluhan "tak sempat" tak sempat nak berjemaah, tak sempat baca Al- Quran...nak habiskan 1 ayat Al-Quran pun tak sempat. Tak sempat..tak sempat...benarkah tak sempat? Atau kita masih berharap agar mempunyai banyak masa lapang seperti zaman-zaman kita kurang tanggungjawab dahulu? Masa itu takkan lapang dengan sendirinya, melainkan kitalah juga yang melorongkan sedikit ruang untuk kita bernafas. Allah memberikan kita hak untuk memilih. Kita boleh memilih untuk terus hanyut dalam rutin yang membosankan, atau ditengah-tengah kesibukan, kita berhenti sebentar melayani keperluan kita yang lain demi untuk membolehkan kita rasa kita bernyawa ( dengan syarat tidak melanggar syariatNya.)

Sesungguhnya, sentiasa ada masa untuk semua perkara yang  ingin kita buat walaupun tidak sebanyak masa terluang seperti pada masa-masa kita yang lalu...dengan melakukan apa yang kita ingini tanpa melanggar batas syariatNya, kita akan rasa lebih bersemangat dan bersyukur atas setiap nikmat yang dilimpahkanNya yang mungkin selama ini kita tidak ambil peduli pun. Bersyukurlah di atas siapapun diri kita hari ini, tidak perlu bercita-cita ingin menjadi orang lain, kerana mungkin kita sebenarnya tidak sesuai atau tidak sanggup pun untuk menjadi orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails