Halaman

Selasa, 20 Disember 2011

Tiada Masa, Tapi Nak Buat Banyak Perkara.


Allah SWT menganugerahkan manusia masa...setiap orang mempunyai masa yang sama banyaknya...Ya, 24 jam sehari...Di dalam 24 jam ini, semua manusia mempunyai pelbagai keperluan dan keinginan untuk mengisi masa masing-masing. Selain bersolat dan beribadah, masa diisi dengan bekerja, tidur dan bersilaturahim sesama manusia. Ada juga yang ingin melakukan hobi, bersukan, berhibur, belajar  dan lain-lain...

Sering kali kita berasa seolah-olah tidak cukup masa. Di awal pagi kita bangun, mengemas diri, dan kemudian menjalankan rutin masing-masing. Tengahari rehat, petang pulang semula ke rumah. Baru sahaja merebahkan badan malam pun menjelma. Sedar -sedar, esoknya pagi menjengah sekali lagi...Bosan, cukup bosan pada rutin hidup yang sama setiap hari. Tiba-tiba kita akan mula berfikir, alangkah baiknya jika aku menjadi itu, jika aku menjadi ini. Mungkin aku akan bahagia jika aku tidak terbeban dengan tugas dan rutin sebegini....

Sedarkah kita, apa yang difikirkan itu mungkin sahaja seolah-olah kita memperkecilkan apa yang telah ditentukan untuk kita? Siapakah yang menentukan ini semua? Adakah kita sedang mengomel menyalahkan diri sendiri atau Allah Yang Maha Berkuasa?

Sesungguhnya Allah menentukan segalanya. Namun Allah menyuruh kita berusaha. Saya juga akui kadangkala merasa amat terbeban dengan tugas sebagai pendidik. Dengan bebanan tugas sampingan, saya hampir kelelahan mengejar waktu menyiapkan kerja sebelum pulang lewat petang. Bila sampai di rumah, saya benar-benar tidak punya tenaga untuk melaksanakan apa yang saya mahu laksanakan. Saya juga punya keinginan untuk masa senggang yang panjang yang mana saya boleh membaca buku kegemaran saya, mencuba resipi baru, menjahit baju, menghias rumah...ya, seperti surirumah sepenuh masa. Namun, Allah mentakdirkan saya untuk turut sama menyumbang membangunkan modal insan di dunia ini. Adakah boleh saya menolak amanahNya? Oleh itu, bagaimana boleh saya dapat semua perkara kecil yang saya inginkan?

Pertama sekali, perlu ada penetapan semula minda. Sebagai seorang hamba Allah, dan bergelaran sebagai anak, isteri, ibu, dan pekerja sekaligus, sudah tentu masa yang ada perlu dibahagi-bahagikan dengan sewajarnya. Jika dulu, saya sebagai hamba Allah, anak dan pelajar sahaja, kurang tanggungjawab dan banyak masa terluang. Namun sekarang dengan sebanyak ini gelarannya, kita perlu terima dahulu hakikat yang kita punya banyak tanggungjawab, sedikit waktu senggang.

Sering kali kedengaran keluhan "tak sempat" tak sempat nak berjemaah, tak sempat baca Al- Quran...nak habiskan 1 ayat Al-Quran pun tak sempat. Tak sempat..tak sempat...benarkah tak sempat? Atau kita masih berharap agar mempunyai banyak masa lapang seperti zaman-zaman kita kurang tanggungjawab dahulu? Masa itu takkan lapang dengan sendirinya, melainkan kitalah juga yang melorongkan sedikit ruang untuk kita bernafas. Allah memberikan kita hak untuk memilih. Kita boleh memilih untuk terus hanyut dalam rutin yang membosankan, atau ditengah-tengah kesibukan, kita berhenti sebentar melayani keperluan kita yang lain demi untuk membolehkan kita rasa kita bernyawa ( dengan syarat tidak melanggar syariatNya.)

Sesungguhnya, sentiasa ada masa untuk semua perkara yang  ingin kita buat walaupun tidak sebanyak masa terluang seperti pada masa-masa kita yang lalu...dengan melakukan apa yang kita ingini tanpa melanggar batas syariatNya, kita akan rasa lebih bersemangat dan bersyukur atas setiap nikmat yang dilimpahkanNya yang mungkin selama ini kita tidak ambil peduli pun. Bersyukurlah di atas siapapun diri kita hari ini, tidak perlu bercita-cita ingin menjadi orang lain, kerana mungkin kita sebenarnya tidak sesuai atau tidak sanggup pun untuk menjadi orang lain.

Selasa, 13 Disember 2011

Tamak


Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sekiranya anak cucu Adam memperoleh dua lembah emas, sudah pasti mereka mahukan lembah yang ketiga. Tidak akan ada kepuasan bagi anak Adam itu melainkan jasadnya dikuburi tanah. Sesungguhnya Allah akan memberi keampunan kepada orang-orang yang bertaubat."

Orang yang bersikap tamak tidak pernah mengambil tahu tentang perkara yang dilakukannya untuk mendapatkan apa yang diingini. Dalam fikiran orang tamak adalah setiap perkara yang dilakukannya adalah betul, sedangkan banyak benda yang dilakukannya telah menyalahi syarak, banyak jiwa yang terguris dan kehidupan orang lain menjadi kucar-kacir.

Petikan buku "Orang orang Yang Utama Dipikat Syurga" Global Aksara

Rabu, 7 Disember 2011

Niat Kerana Allah


Pada dasarnya, semua amal yang kita lakukan harus diniatkan kerana Allah semata. Jika kita melakukannya dengan niat kerana Allah, maka amal sekecil apa pun akan mendapatkan balasan dari Allah. Sebaliknya, bila kita melakukannya tanpa niat kerana Allah ( berdasarkan usaha manusia), maka kita hanya memperolehi pujian atau sesuatu yang kita usahakan itu. Di akhirat, kita tidak akan mendapatkan balasan apa-apa pun atas amal tersebut. 


Rasullullah SAW bersabda:
"Allah mengumpulkan semua orang dari berbagai zaman pada hari kiamat. Saat itu, ada seseorang yang akan berseru, 'Barangsiapa menyekutukan Allah dengan seseorang dalam berniat, maka hendaklah ia mencari pahala dari orang itu. Sesungguhnya, Allah adalah zat terkaya dari semua sekutu." (HR Ahmad, Tirmizi, dan Ibnu Majah)

petikan buku : "Ketika mulut dikunci tangan dan kaki bersaksi" Global Aksara

Selasa, 6 Disember 2011

Isteri solehah pasti pelihara 10 sifat

Oleh Dr Hafidzah Mustakim

DALAM satu program wanita, seorang ibu berumur lewat usia 40-an berbual mesra sambil bertanya kepada saya: “Diam tak diam, saya dah nak dapat menantu lelaki. Along Hasanah akan berkahwin bulan depan, kita ni terlalu sibuk dengan kerjaya dan kehidupan, sehingga tidak perasan anak dah semakin besar dan akan berumah tangga.”

Saya membalas : “Kita perlu mengingat dan membekalkan nasihat yang pernah kita peroleh dulu daripada orang berpengalaman dan berilmu kepada mereka.

"Dulu pernah mendengar, pada masa mula-mula hendak kahwin. Tetapi, apa salahnya kita dengar untuk kesekian kalinya. Ia menjadi kata-kata hikmat dan pengajaran yang lebih bermakna. Kita dan ramai kawan masa muda-muda masih ingat nasihat itu.”

Perbualan saya dengan wanita itu mengingatkan kepada wasiat seorang ibu solehah pada zaman kegemilangan Islam.

Mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.

Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”

Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa asas penting:

l Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.

l Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.

l Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada ‘dua bahagian muka syiling’. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah.

Saya sering mengingatkan diri sendiri sebagai isteri dari muda hingga sekarang dan masih sangat mempercayai bahawa: "Kita hanya boleh mengubah diri sendiri. Percayalah apabila kita berubah, persekitaran dan orang di sekeliling juga akan berubah secara positif.”

Penulis ialah doktor perubatan persendirian dan AJK JIM Pusat serta boleh dihubungi melalui
wanitajim0@yahoo.com

Penuaan dan Mati


"Sebagai sunnatullah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum(mu), dan kamu sekali-kali tidak akan mendapatkan perubahan pada sunnatullah."

Penuaan dan kematian ialah dua perkara yang tidak dapat dihindari. Sunnatullah tersebut ialah kehendak Allah SWT terhadap manusia. Sebab, dunia bukan tujuan, melainkan tempat meraih apa yang Allah kehendaki. 

Akhirat ialah tujuan dari kewujudan manusia dan penciptaan seluruh makhluk Allah di muka bumi ini. Tempat manusia yang kekal ialah syurga atau neraka, sedangkan dunia hanyalah tempat persinggahan sementara atau bagai terminal untuk berehat. Ia bagaikan seseorang yang berteduh di bawah pokok kemudian pergi.

Petikan buku : "Misteri Alam Barzakh" Global Aksara

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails